Sejak kebelakangan ini ramai yang melayari facebook (FB). Ada sesetengah wanita yang telah berumahtangga mempamerkan gambar termasuk yang tidak menutup aurat untuk dikenali dalam profilnya tanpa pengetahuan suami. Perbuatan wanita mempamerkan gambar peribadi yang tidak menutup aurat adalah haram dalam Islam.
Bagi seorang isteri kecantikan dan kejelitaannya hanya berhak ditatap oleh si suami sahaja. Mendedahkan aurat kepada orang bukan mahram adalah ditegah oleh Allah SWT. Lebih-lebih lagi melalui laman sosial yang mungkin ditonton oleh jutaan manusia.
Malahan gambar-gambar ini juga boleh dicetak dan boleh disalahguna oleh pihak tertentu. Maksudnya, janganlah hendaknya orang wanita mendedahkan diri mereka kepada sebarang kemudaratan melalui FB.
Mempamerkan gambar peribadi dalam FB dengan pelbagai gaya dan watak dalam keadaan tidak menutup aurat sangat tidak bermoral. Biarpun dengan izin suami mahupun ahli keluarganya, ia tetap haram.
Wanita adalah perhiasan dunia ini, namun sebaik-baik perhiasan ini hendaklah benar-benar beriman dan bertakwa bukan yang tanpa segan silu mendedahkan apa yang disuruh disembunyikan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripadanya memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau baba mereka atau baba mertua mereka atau anak-anak mereka....(al-Nur: 31)
Berdasarkan ayat ini jelas bahawa Allah SWT memerintahkan kaum hawa menjaga batasan aurat yang menjadi maruah mereka. Mendedahkan aurat kepada mereka yang bukan mahram adalah haram.
Allah SWT hanya membenarkan kelonggaran aurat dalam batasan ahli keluarga. Ayah yang beriman serta adik beradik yang beriman tidak akan terangsang dengan melihat aurat darah daging sendiri, melainkan yang bernafsu binatang.
Segolongan ulama masih menyarankan agar para wanita itu menjaga batasan aurat mereka biarpun di hadapan ayah, abang dan mahram yang lain. Sebabnya yang demikian demi menjaga kemuliaan dan kesucian seseorang wanita.
Sebab itulah Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Dan sesungguhnya kami telah menurunkan kepada kamu ayat-ayat keterangan yang menjelaskan (hukum-hukum suruh dan tegah), dan contoh tauladan (mengenai kisah-kisah dan berita), golongan yang telah lalu sebelum kamu serta nasihat pengajaran bagi orang yang mahu bertakwa. (al-Nur: 34)
Sebab itulah di dalam al-Quran, ada suruhan dan tegahan, bagi mereka yang beriman pasti akan bersegera meninggalkan yang ditegah. Bagi mereka yang berkarat hati amat sukar mendapat petunjuk.
Ini kerana al-Quran adalah nur iaitu cahaya, bukan cahaya yang bias dilihat dan dirasa oleh pancaindera manusia, cahaya ini adalah cahaya penyuluh menuju kepada Allah SWT, mendamba keredaan dan tamak kepada cintanya.
Justeru, mendedahkan aurat kepada yang bukan mahram adalah secara tidak langsung tidak patuh kepada perintah Allah SWT yang menyuruh menutupnya.
Suami yang menyedari bahawa isterinya mendedahkan gambar-gambarnya dalam FB wajib menasihati dan menegur isterinya serta menyuruhnya mengeluarkan gambar yang tidak sewajarnya daripada FB. Seterusnya, bertaubat kepada Allah SWT.
Batasan berinteraksi di dalam FB juga perlu diawasi. Jangan sampai mendedahkan hal-hal rumahtangga di dalamnya. Apatah lagi menceritakan keaiban rumahtangga termasuklah menceritakan keaiban suami atau isteri.
Ada kajian yang dijalankan bagi mendapatkan peratus perceraian yang berpunca daripada FB, jumlahnya agak banyak dan sangat mendukacitakan.
Nampaknya sudah ada yang sengaja mendedahkan hal rumahtangga dalam FB sehingga mengecilkan hati pasangan dan berakhir dengan perceraian.
Tabiat atau perbuatan mendedahkan keaiban suami di dalam FB atau di mana-mana hukumnya sama iaitu haram dan berdosa.
Sekiranya si isteri tidak berpuas hati dengan suami, sedangkan berhak untuk mendapat apa yang diperuntukkan oleh syarak maka dia boleh berunding dengan suami atau minta ahli keluarga lelaki dan ahli keluarga perempuan berunding mencari titik pertemuan serta mencari perdamaian.
Setiap insan yang bergelar suami dan isteri adalah haram dan berdosa mendedahkan keaiban pasangan di khalayak ramai. Jika berlaku sedemikian, maka hendaklah dipadam dalam FB dan mintalah maaf pada pasangan masing-masing.
Selepas membaca, eloklah dieditkan gambar-gambar yang tidak menutup aurat terutama wanita Islam. Yang sudah bersuami mintalah kebenarannya atau tukar dengan gambar yang imej lain sebagai ganti gambar yang ada sekarang.
No comments:
Post a Comment