And when it was said that the promise of Allah was true, and that the Hour, there was no doubt about its (coming)

Friday, August 12, 2011

Otak dan akal perlu diguna


Perkataan otak boleh diterjemah daripada kalimat al-Qur'an, qalb, walaupun kalimat itu lazimnya bermakna hati. Sebagai contoh ialah sebuah ayat berbunyi:
"... mereka mempunyai hati, tetapi tidak memahami dengannya; mereka mempunyai mata, tetapi tidak melihat dengannya; mereka mempunyai telinga, tetapi tidak mendengar dengannya" (7:179).
Di situ, hati (qalb) berfungsi sebagai organ untuk memahami. Walhal, dalam bahasa Melayu, hati adalah tempat perasaan, sementara tempat atau organ untuk memahami ialah otak. Lalu diandaikan hati di situ bermaksud otak.
Justeru, Allah menyuruh supaya menggunakan otak dalam hal agama. Kalau tidak, manusia akan menjadi lebih sesat daripada binatang ternak, dan akan tinggal di dalam Jahanam (neraka). Firman-Nya:
"Kami menciptakan untuk Jahanam banyak jin dan manusia; mereka mempunyai hati (otak), tetapi tidak memahami dengannya; mereka mempunyai mata, tetapi tidak melihat dengannya; mereka mempunyai telinga, tetapi tidak mendengar dengannya. Mereka adalah seperti binatang ternak; tidak, tetapi mereka lebih jauh sesat" (7:179).
Jahanam adalah tempat tinggal yang kekal (23:103) bagi mereka yang sesat, menurut ayat tadi. Sesat, dalam agama Allah, disebabkan oleh sikap negatif terhadap ayat-ayat-Nya. Dengan itu, orang-orang yang tidak menggunakan otak, mata dan telinga ke atas ayat-ayat Allah berada dalam keadaan lebih jauh sesat daripada binatang ternak.
Terdapat pula orang-orang yang tidak memahami (al-Qur'an), bukan kerana tidak menggunakan otak, tetapi kerana otak mereka ditudungi oleh Allah. Itu ialah kerana mereka tidak suka apabila Allah disebut satu-satunya. Mereka lebih suka atau gembira apabila yang selain daripada Allah disebut, seperti Imam-Imam atau manusia lain. Telinga mereka juga disumbat oleh Allah. Lantaran, mereka tidak dapat mendengar al-Qur'an lalu tidak memahaminya. 
Ayat-ayat Allah yang menjelaskan keadaan tersebut berbunyi,
"Dan Kami meletakkan penudung pada hati (otak) mereka supaya mereka tidak memahaminya, dan di dalam telinga mereka sumbatan. Dan apabila kamu mengingatkan (menyebut) Pemelihara kamu satu-satunya di dalam al-Qur'an, mereka berpaling ke belakang mereka dalam pelarian" (17:46), dan
"Apabila Allah diingatkan (disebut) satu-satunya, maka meluatlah hati orang-orang yang tidak mempercayai akhirat, tetapi apabila orang-orang selain daripada Dia disebut, tiba-tiba mereka bergembira" (39:45).
Orang-orang yang meluat hati apabila Allah disebut satu-satunya, namun gembira apabila mereka yang selain daripada Dia disebut, disifatkan sebagai tidak mempercayai akhirat, walaupun mereka berkata mereka percaya. Malah, akhirat yang mereka tahu dan percaya, yang diajar oleh ulama palsu, adalah berbeza daripada akhirat sebenar yang diajar di dalam al-Qur'an.
Selain daripada qalb, kalimat 'aqala juga berkaitan. Bunyinya serupa dengan perkataan Melayu akal. Akal atau fikiran adalah penggerak untuk memahami sesuatu. Maka orang yang tidak menggunakan akal adalah yang tidak memahami.
Bacaan tidak menterjemahkan 'aqala kepada akal atau fikiran kerana sukar menyeragamkannya pada semua ayat yang mengandungi kalimat tersebut. Ia menterjemahkan kalimat itu kepada faham atau memahami. Sila rujuk Kalimat faham di dalam al-Qur'an selepas ini.
Orang-orang yang tidak menggunakan kurniaan Allah itu adalah mereka yang tidak memahami, khususnya tidak memahami ayat-ayat Allah. Lihat bagaimana Allah membuat persamaan bagi mereka:
"Sesungguhnya seburuk-buruk haiwan pada pandangan Allah ialah orang-orang yang pekak, dan bisu, dan tidak memahami (tidak menggunakan akal)" (8:22).
"Atau, kamu menyangka bahawa kebanyakan daripada mereka mendengar atau memahami? Mereka, tidak lain, adalah seperti binatang ternak; tidak, mereka lebih jauh sesat daripada jalan" (25:44).
Allah menyatakan bahawa kebanyakan orang tidak menggunakan akal dalam agama lalu menjadi lebih sesat daripada binatang ternak. Ini mungkin disebabkan oleh ajaran ulama palsu yang melarang menggunakan akal dalam agama.
Oleh yang demikian, terdapatlah ajaran-ajaran mereka yang tidak diterima akal. Contoh, menyimpan janggut dapat pahala. Tentu ini tidak diterima akal kerana tidak adil, khususnya terhadap kaum wanita yang selama-lamanya tidak akan dapat pahala janggut.
Orang-orang yang tidak menggunakan akal, atau yang tidak memahami, diletakkan kotoran ke atas mereka. Mereka menjadi kotor atau tidak bersih dan suci. Firman-Nya:
"Tiadalah bagi sesuatu jiwa untuk mempercayai, melainkan dengan izin Allah, dan Dia meletakkan kotoran ke atas orang-orang yang tidak memahami (tidak menggunakan akal)" (10:100).
Di dalam kategori kotor yang sama adalah benda-benda dan orang-orang yang berikut:
  • arak, dan judi, dan berhala-berhala, dan ramalan anak-anak panah - 5:90,
  • orang-orang yang tidak mempercayai - 6:125, 9:125,
  • bangkai, darah yang tercurah, dan daging babi - 6:145, dan
  • yang enggan berperang bersama Nabi - 9:95
Yang menjadi kotor bagi manusia bukanlah kulit dan apa-apa yang tumbuh padanya, atau yang menyelubunginya, tetapi apa yang di dalam kepala dan dada mereka. Begitulah sebaliknya, bagi yang suci, iaitu bukan apa-apa yang tumbuh atau yang menyelubungi kulit, tetapi apa yang di dalam kepala dan dada.
Mereka dijadikan kotor kerana tidak mempercayai ayat-ayat Allah (10:100 tadi). Tidak mungkin mereka akan percaya kalau mereka tidak memahami atau tidak menggunakan akal terhadap ayat-ayat Allah. Sedangkan al-Qur'an itu diturunkan supaya ia difahami. Firman-Nya:
  • "Kami menurunkannya sebagai sebuah Qur'an bahasa Arab, supaya kamu faham" - 12:2 (sila rujuk 43:3 juga)
  • "Sesungguhnya Kami menurunkan kepada kamu sebuah Kitab yang di dalamnya Peringatan kamu; tidakkah kamu memahami?" - 21:10. 
Satu lagi sebab mengapa orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah ialah kerana mengikuti bapa-bapa mereka atau nenek moyang mereka yang (tanpa disedari) tidak memahami sesuatu dan tidak dapat petunjuk. Firman-Nya:
"Dan apabila dikatakan kepada mereka, 'Ikutlah apa yang Allah turunkan', mereka berkata, 'Tidak, kami akan mengikuti apa yang kami mendapati bapa-bapa kami buat.' Apa? Dan jika bapa-bapa mereka tidak memahami sesuatu, dan mereka tidak mendapat petunjuk?" (2:170).
Kesudahannya, di akhirat kelak, mereka yang tidak menggunakan akal dalam agama akan menyesal. Penyesalan mereka dirakamkan di dalam sebuah ayat berbunyi:
"Dan mereka berkata, 'Sekiranya kami mendengarkan, atau memahami (menggunakan akal), tentu kami tidak menjadi orang-orang Menyala'” (67:10).
Lantaran itu, gunakanlah otak dan akal agar agama Islam dan penganut-penganutnya menjadi yang paling disenangi di dunia pada hari ini. Dan, nama Allah serta Kitab-Nya, al-Qur'an, dapat disanjung tinggi dengan sanjungan yang sebenarnya.

Best Blogger Tips

Misteri nombor 6666



Sering terdengar sesetengah orang Melayu menyatakan bahawa jumlah ayat di dalam al-Qur'an adalah enam ribu, enam ratus, dan enam puluh enam (6,666). Angka itu manis disebut, senang diingat, dan sedap didengar.

Namun begitu, bukan semua yang sedap didengar dan senang diingat yang dikeluarkan daripada mulut yang manis itu benar. Haruslah diperiksa dahulu sebelum menerimanya bulat-bulat. Apatah lagi kalau ia mengenai agama kerana syaitan juga boleh berbuat demikian - "syaitan-syaitan daripada manusia dan jin, yang mewahyukan ucapan palsu yang indah-indah kepada satu sama lain, untuk menipu" (6:112).
Untuk mengetahui sama ada jumlah 6,666 itu benar atau tidak adalah tidak susah. Cuma ambil sebuah calculator dan sebuah kitab al-Qur'an. Mula dari surah Fatihah yang diakhiri dengan nombor 7. Itu adalah jumlah ayat bagi surah tersebut. Kemudian pergi ke hujung surah 2 (al-Baqarah) dan bertemu pula dengan angka 286. Teruskanlah, surah demi surah, hingga ke hujung surah terakhir, iaitu surah yang ke-114. Campurkan kesemua angka itu, dan jumlah yang didapati adalah jumlah ayat-ayat al-Qur'an yang sebenar.
Pengiraan tersebut disenangkan di sini. Disediakan di bawah ini satu senarai yang mengandungi surah-surah (menurut nombornya sahaja), jumlah ayat-ayatnya, dan jumlah kesemua ayat di dalam surah-surah itu, atau jumlah kesemua ayat kitab al-Qur'an yang sebenar:
Surah:
    1-5     ( 7 + 286 + 200 + 176 + 120 )   = 789 ayat
    6-10   ( 165 + 206 + 75 + 129 + 109 ) = 684
  11-15   ( 123 + 111 + 43 + 52 + 99 )     = 428
  16-20   ( 128 + 111 + 110 + 98 + 135 ) = 582
  21-25   ( 112 + 78 + 118 + 64 + 77 )     = 449
  26-30   ( 227 + 93 + 88 + 69 + 60 )       = 537
  31-35   ( 34 + 30 + 73 + 54 + 45 )         = 236
  36-40   ( 83 + 182 + 88 + 75 + 85 )       = 513
  41-45   ( 54 + 53 + 89 + 59 + 37 )         = 292
  46-50   ( 35 + 38 + 29 + 18 + 45 )         = 165
  51-55   ( 60 + 49 + 62 + 55 + 78 )         = 304
  56-60   ( 96 + 29 + 22 + 24 + 13 )         = 184
  61-65   ( 14 + 11 + 11 + 18 + 12 )         =   66
  66-70   ( 12 + 30 + 52 + 52 + 44 )         = 190
  71-75   ( 28 + 28 + 20 + 56 + 40 )         = 172
  76-80   ( 31 + 50 + 40 + 46 + 42 )         = 209
  81-85   ( 29 + 19 + 36 + 25 + 22 )         = 131
  86-90   ( 17 + 19 + 26 + 30 + 20 )         = 112
  91-95   ( 15 + 21 + 11 + 8 + 8 )             =   63
  96-100 ( 19 + 5 + 8 + 8 + 11 )               =   51
101-105 ( 11 + 8 + 3 + 9 + 5 )                 =   36
106-110 ( 4 + 7 + 3 + 6 + 3 )                   =   23
111-114 ( 5 + 4 + 5 + 6 )                         =   20
-----------------------------------------------------------
                                               Jumlah besar  =  6,236 ayat

Maka bilangan ayat di dalam al-Qur'an adalah 6,236, bukan 6,666, seperti yang diajar ulama palsu.
Tiap-tiap surah, melainkan surah 9 (At-Taubah), bermula dengan "Bismillah." Akan tetapi hanya Bismillah yang pertama di dalam al-Qur'an, iaitu di surah 1 (Al-Fatihah), dikira sebagai satu ayat. Ini bermaksud ia diberi nombor, iaitu nombor 1. Bismillah di surah lain yang berjumlah 112 kesemuanya tidak dikira atau diberi nombor.
Andaikata bilangan 112 itu ditambah kepada jumlah besar 6,236 tadi, maka ia menjadi 6,348, yang bukan juga sebanyak 6,666 yang keramat itu.
Perbezaan bilangan ayat di antara dua jumlah tersebut (6,236 dan 6,348) dengan 6,666 adalah 430 dan 318 masing-masing. Perbezaannya besar. Di manakah pula tersimpannya ayat-ayat yang berlebihan itu?
Mungkin terdapat orang yang mempercayai ada unsur mistik pada nombor 6666 itu. Sekiranya begitu, maka mistis nombor 6666 itu adalah, tiada lain, tetapi hanya karut belaka. Kerana tiada ayat Allah daripada al-Qur'an yang tersembunyi. Tiada juga kebenaran pada kepercayaan iaitu hanya sesetengah orang sahaja yang mengetahui rahsianya.
Ayat-ayat Allah di dalam al-Qur'an adalah jelas dan nyata untuk dibaca dan dijadikan petunjuk bagi semua lapisan manusia di dunia. Mereka diturunkan Allah sebagai bukti yang jelas lagi nyata atas kebenaran yang sebenar. Terdapat banyak ayat di dalam al-Qur'an yang menyebut mengenainya. Antaranya adalah enam yang berikut:
1.    "Dan Kami menurunkan kepada kamu ayat-ayat, bukti-bukti yang jelas, dan tiada yang tidak percaya kepadanya melainkan orang-orang yang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan)" (2:99).
2.    "Demikianlah, Kami menurunkannya sebagai ayat-ayat, bukti-bukti yang jelas, dan Allah memberi petunjuk kepada siapa yang Dia mengkehendaki" (22:16).
3.    "Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, bukti-bukti yang jelas, mereka berkata, 'Tiadalah ini, melainkan seorang lelaki yang menghendaki untuk menghalangi kamu daripada apa yang bapa-bapa kamu sembah'; dan mereka berkata, 'Tiadalah ini, melainkan kedustaan yang diada-adakan'" (34:43).
4.    "Bulan Ramadan yang padanya al-Qur'an diturunkan untuk menjadi satu petunjuk bagi manusia, dan sebagai bukti-bukti yang jelas daripada Petunjuk itu, dan Pembeza" (2:185).
5.    "Inilah bukti yang nyata bagi manusia, dan satu petunjuk, dan satu pengasihan bagi kaum yang yakin" (45:20), dan,
6.    "Bukti-bukti yang nyata telah datang kepada kamu daripada Pemelihara kamu. Sesiapa melihat, ia adalah untuk dirinya sendiri, dan sesiapa buta, ia adalah kepadanya sendiri; aku (Muhammad) bukanlah penjaga kamu" (6:104).
Kembali kepada nombor 6,666, lalu teringat akan seorang kenalan, semasa bekerja dulu, yang mengatakan jumlah ayat al-Qur'an adalah sebanyak itu. Setelah diberitahu jumlah yang sebenar, dan bagaimana ia diperolehi, dia berkata, sedang tidak mempercayainya, bahawa dia akan bertanya "Tok Mufti" mengenainya. Tok itu adalah guru yang mengajarnya. Sangat dibanggakannya. Mahukah tidak berbangga dapat berguru atau berapat dengan seorang Mufti negeri yang manis rupa dan pertuturannya, lagi dihormati dan masyhur pula. (Mufti tersebut telah bersara beberapa tahun lalu.)
Itulah padah bagi mereka yang tidak mahu mendengar semua ucapan atau pandangan orang lain. Mereka hanya mendengar ucapan orang-orang tertentu sahaja yang disangka alim serta didewa-dewakan oleh orang ramai. Lalu bukti yang jelas dan nyata, apabila tampil ke mukanya, didustakan dengan sengaja. Sebab, ingin menerima ucapan "dewa" yang palsu dan indah, yang menipunya (atas kecuaiannya sendiri), sebagai yang hak dan benar.
Setelah Allah memperingatkan supaya mendengar semua ucapan orang, serta menggunakan minda untuk memilih dan mengikuti yang terbaik daripadanya, sesetengah orang Melayu masih dalam keraguan. Walaupun, cara itu, tambah-Nya lagi, akan membuat-Nya memberi petunjuk, namun mereka tetap dalam keadaan ragu-ragu atau lupa.
Justeru, Peringatan itu diturunkan di bawah ini untuk renungan bersama. Dengannya, berakhirlah tulisan di sini. Firman Allah:
"Yang mendengar ucapan, dan mengikuti yang paling baik daripadanya, mereka itulah orang-orang yang Allah memberi petunjuk kepada mereka; mereka itu, merekalah orang-orang yang mempunyai minda" (39:18).
Best Blogger Tips
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts