And when it was said that the promise of Allah was true, and that the Hour, there was no doubt about its (coming)

Thursday, September 8, 2011

Dunia Yang Disalah Ertikan

Oleh : Dr Juanda Bin Jaya ( Mufti Perlis)


“Manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk memperoleh dunia. Mereka sanggup menipu, merasuah, putar belit dan segala pendekatan tidak bermoral semata-mata kerana ingin menambah kekayaan dunia. Inilah dia keburukan dunia. Oleh itu dunia bukanlah tempat untuk orang beriman dan usaha yang mesti dilakukan hanyalah mengumpul amal untuk hari akhirat.” Demikianlah antara inti pati suatu ceramah yang disampaikan dengan penuh bersemangat bagi menjelaskan bahawa dunia adalah tempat negatif yang tidak perlu direbut oleh orang beriman.
Penceramah itu menambah lagi bahawa “mereka yang cintakan dunia sanggup bekerja keras tanpa mengira waktu, sanggup bangun awal pagi sebelum Subuh hingga kadang-kadang melalaikan sembahyang Subuh dan sanggup balik akhir petang atau lewat malam hingga melalaikan sembahyang dan tanggungjawab terhadap anak isteri.”
Ceramah itu disimpulkan dengan suatu ungkapan bahawa “dunia bukanlah tempat yang perlu direbut dan dirisaukan oleh seorang mukmin. Yang perlu hanyalah cinta akhirat dan melakukan ibadat ritual semata-mata.” Akibat takut menjadi hamba dunia, takut terhina kerana terkejar-kejarkan kemewahan yang sementara yang tidak akan dapat dibawa ke dalam lubang kubur dan tidak dapat dijadikan sebagai pemberat amal salih di akhirat, maka dunia diabaikan oleh sebahagian umat Islam.
Hakikat Dunia
Pemahaman yang cetek terhadap Islam seperti kandungan ceramah di atas yang turut selalu diulang-ulang dalam ucapan keagamaan sering membawa kepada persepsi negatif di kalangan umat Islam yang akhirnya berakar umbi di dalam minda. Ini bukan cerita baru. Bahkan ucapan sebegini selalu disaluti dengan pelbagai ayat al-Quran dan Hadis yang sebahagian besarnya silap tafsiran dan pemahaman. Kesimpulan akhir yang selalu dibuat ialah dunia adalah milik si kafir dan tidak perlu dikuasai oleh orang beriman. Jika memiliki dunia, seolah-olah iman menjadi lemah!. Apakah benar sedemikian?
Dunia berasal daripada perkataan Arab ’dun ya’ yang bererti rendah, buruk, jijik dan seumpamanya. Menurut Kamus Dewan dunia bererti bumi, kehidupan, alam manusia dan sebagainya.
Apakah benar orang yang bekerja kuat mencari rezeki adalah orang yang bersifat keduniaan ataupun boleh dipanggil sebagai ‘hamba dunia’? Sedangkan hakikatnya mencari rezeki adalah suatu tanggungjawab yang wajib di sisi agama. Dunia yang negatif sebenarnya ialah sifat cintakan keduniaan yang berupa harta benda dan kesenangan hidup yang melalaikan.
Sebenarnya tujuan Allah memberikan ancaman dan gambaran buruk terhadap dunia adalah sebagai cara tarhib (mengancam) agar jangan cintakan dunia hingga mengatasi cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Manusia dilantik oleh Allah menjadi Khalifah di atas muka bumi sewaktu Nabi Adam AS masih berada di dalam syurga. Pelantikan itu adalah jelas iaitu untuk mentadbir ’dunia’. Firman Allah SWT dalam ayat 30 Surah al-Baqarah yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.”

Dunia Dan Akhirat Tiada Pemisah
Tanpa dunia, bagaimanakah hukum Allah boleh ditegakkan? Sembahyang sebagai contohnya perlu didirikan dengan menggunakan pakaian yang merupakan barangan dunia di mana pakaian yang menutup aurat itu adalah salah satu syarat sah sembahyang ditunaikan. Puasa pula adalah suatu latihan untuk mengawal kehendak kepada dunia dan mengekang keserakahan nafsu daripada menguasai jiwa. Zakat yang merupakan salah satu rukun Islam pula adalah suatu manifestasi perintah Allah bahawa dunia perlu dikuasai agar orang yang beriman mampu memberi sumbangan harta untuk menegakkan agama. Haji sebagai kemuncak bagi bukti ketakwaan kepada Allah SWT dilaksanakan dengan mengorbankan dunia yang dimiliki sebagai bukti keinginan yang mendalam mengharapkan rahmat Allah.
Bagi memastikan dunia ditadbir dengan keadilan Allah SWT dan bagi memastikan konsep Khalifah dipenuhi, maka kuasa pemerintahan yang merupakan kemuncak hakikat dunia hendaklah dikuasai dalam rangka untuk mentaati Allah SWT. Kuasa pemerintahan menurut pandangan Islam adalah suatu manifestasi mewakili kuasa bagi menjalankan hukum Allah SWT.
Ekonomi merupakan tunjang kepada kuasa dunia. Tanpa menguasai wang dan pasarannya, adalah mustahil untuk memastikan ekonomi itu tunduk dan patuh kepada keadilan Allah SWT. Kelemahan umat Islam dalam menguasai dan menguruskan ekonomi sedunia mengakibatkan pasaran riba mengatasi pasaran Islam.
Sosial pergaulan manusia pula merupakan suatu intipati kehidupan yang tidak dapat dipisah daripada naluri manusia. Sekiranya umat Islam tidak mengurus urusan sosial mereka menurut lunas Islam, maka sistem yang tidak berkiblatkan Allah SWT akan mengambil ruang dan peranannya.
Jelasnya, dunia dan akhirat menurut agama Islam adalah satu. Tiada pemisah. Bahkan keduanya adalah saling memerlukan. Kiranya dipisahkan keduanya akan pincanglah yang satu lagi, tanpa berfungsi. Inilah konsep Islam yang tergambar dalam manifestasi Islam Hadhari di mana dunia adalah jambatan bagi menuju akhirat.
Islam Merubah Persepsi Terhadap Dunia
Apabila Islam datang, ia membawa sifat istimewa iaitu seimbang dalam segenap bidang, sesuai dengan kedudukannya sebagai agama untuk seluruh alam dan segenap masa. Ia datang dengan keseimbangan antara hembusan rohani dengan tuntutan jasmani, seimbang antara kehendak agama dan keperluan dunia dan seimbang antara kerja di dunia dan kerja setelah mati. Islam tidak menuntut daripada Muslim Idealis untuk menjadi pendeta di biara, atau menjadi seorang abid dalam khulwah suluknya di mana malam dipenuhi dengan qiyam, siang berpuasa, semua geraknya adalah fikir, setiap katanya adalah zikir dan setiap renungannya adalah meditasi! Tiada ruang baginya dalam dunia dan dunia tidak mendapat tempat pada dirinya.
Islam menuntut agar setiap Muslim menjadi insan yang bekerja dalam kehidupan untuk memakmurkan bumi dan mendorong dunia maju ke hadapan. Islam memerintahkan setiap Muslim berkelana atas muka bumi untuk mencari setiap lubang rezeki sama ada sebagai petani, pekilang, peniaga, cendekiawan, pakar atau pekerja dalam apa sahaja bidang. Tetapi jangan pula dia tertipu oleh tuntutan dunia sehingga lupa kepada Penguasa Dunia ini. Dia tidak boleh mengutamakan tuntutan jasad hingga melalaikan keperluan rohaninya. Juga tidak boleh mengorbankan bahagian akhirat yang abadi demi memperoleh kedudukan dunia yang sementara. Dia tidak boleh melupakan Allah SWT hingga mengakibatkan dia boleh lupa hakikat diri dan penciptaannya.
Inilah dia agama Islam; Agama yang tidak meminggirkan dunia dan dunia yang diambilnya tidak mengenepikan agama! Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts