And when it was said that the promise of Allah was true, and that the Hour, there was no doubt about its (coming)

Thursday, September 8, 2011

HUTANG YANG TAK AKAN PERNAH TERBAYAR


Rasulullah menangis, hiba hatinya mendengar luahan hati seorang ayah tentang anaknya. Lelaki tua itu berkata: ”Ketika kecil, tanganku inilah yang memberimu makan. Engkau kehausan, akulah yang menuangkan. Jika kau sakit, tiada aku tidur sepanjang malam, sakitmu itu membuatku kerisauan. Tetapi kini setelah engkau mencapai tujuan. Kulihat dalam dirimu apa yang tak kuharapkan. Kau balas dengan kekerasan dan kekasaran. Seolah-olah nikmat dan anugerah itu engkau yang berikan.” Berlinangan airmata Rasulullah SAW, baginda memanggil anak itu dan bersabda kepadanya: ”Kamu dan semua milikmu, semuanya adalah milik ayahmu.” Hadis riwayat Ibn Majah, Imam Ahmad dalam al-Musnad, Ibnu Hibban dalam Sahihnya dan al-Baihaqi dalam al-Sunan.
Kasih sayang ayah dan ibu adalah hutang yang takkan pernah dapat dibayar oleh seorang anak. Namun ramai anak yang cuba mengungkit setiap pemberian mereka kepada kedua orang tua. Tindakan sebegitu pasti amat melukakan hati keduanya. Tidakkah mereka sedar kehidupan yang dikecapi sekarang bermula dari setitis air mani ayah dan keredaan seorang ibu menanggung derita dalam kehamilan. Jika dapat dihitung segala jasa mereka, sungguh dunia dan seisinya ini takkan mampu membayar balik jasa-jasa mereka.
Pada suatu hari, ketika Abdullah bin Umar sedang melakukan tawaf di Baitullah. Ada seorang lelaki berasal dari Yaman sedang memikul ibunya bertawaf dalam keadaan cuaca yang sangat panas. Peluh mengalir dari wajahnya, dia amat keletihan. Orang itu bertanya kepada Ibnu Umar: ”Apakah menurutmu aku telah membayar jasa ibuku atas apa yang telah ia lakukan untukku selama ini? Ibnu Umar menjawab: ”Demi Allah, tidak walaupun satu nafasnya.”
Bagaimana dengan berjuta nafas yang telah dihirup oleh seorang ibu demi bayi di dalam rahimnya? Sentuhannya, dakapan dan titisan air susunya? Sanggupkah kita membayar semua itu? Berapakah harga setiap suapan hasil titik peluh ayah? Harga didikan adab dan ilmu yang diajarkan kepada kita sehingga menjadikan kita mulia di mata manusia?
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: ”Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kalian tiga perkara dan membenci tiga perkara: Ia mengharamkan derhaka kepada ibumu, membunuh anak perempuan, tidak mahu memberi tapi suka meminta. Ia membenci tiga perkara: Banyak bercakap kosong, banyak bertanya dan menyia-nyiakan harta.” Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim.
Dr. A’id al-Qarni sewaktu membahaskan tentang hadis di atas berkata: Perbuatan derhaka kepada ibu dan ayah adalah seperti memutuskan daripada menziarahi keduanya, tidak memberikan nafkah kepada mereka sedangkan mereka berhak mendapat nafkah, menyakiti hati mereka dan tidak memenuhi hak-hak mereka.
Tiada siapa yang mahu dikatakan dirinya anak derhaka. Tetapi tindakan dan sikap yang ditunjukkan oleh seorang anak itu adalah gambaran zahir yang tidak dapat disembunyikan. Pandangan manusia boleh menilai walaupun sifatnya subjektif. Apatah lagi pandangan Allah SWT, siapakah yang boleh menyembunyikan aibnya? Penderhakaan itu akan membekas di hati ibu bapa dan akan dibawa sampai ke mati. Ada yang berpendapat bahawa semua itu adalah akibat salah ibu bapa mendidik. Tetapi bukankah manusia bertambah dewasa dan tahu memilih yang benar dan salah? Untuk apa akal dan hati yang Allah SWT cipta dan kurniakan jika bukan untuk memujuk ego supaya tunduk pada ajaran yang hak?
Ada pula yang berani berkata: ”Atas sebab ibu bapa derhaka kepada anak, maka anakpun membalas!” Hati jenis apakah yang sanggup membalas kekhilafan ibu bapanya dengan kejahatan dan dendam? Maknanya jika ibu menampar wajah sang anak, anak pula berhak membalas tamparan itu ke wajah ibunya? Kalau memang ibu bapa itu jahat, apakah mereka akan membiarkan diri kita hidup dari dulu lagi. Mereka boleh melepaskan tanggungjawab jika mereka mahu. Mengapa disebabkan kesalahan yang sedikit, maka kebaikan yang terlalu banyak dilupakan?
Ibu bapa kita adalah sumber kekuatan diri kita. Iman tidak sempurna jika kita mencalarkan kebeningan hati mereka. Di tengah kesibukan dunia yang menenggelamkan hati dan perasaan sang anak, ada satu masa sang anak pasti berasa tersiksa iaitu apabila dia mengingat kembali pelukan dan ciuman kasih ayah ibunya tetapi tiada peluang baginya untuk memohon ampun kepada keduanya.
Kembalilah kepada mereka dengan hati yang ikhlas, sebelum segalanya berakhir dengan kesedihan dan penyesalan sepanjang hayat. ”Kamu dan semua milikmu, semuanya adalah milik ayah ibumu”! Satu prinsip yang diajar oleh Rasulullah SAW sebagai ingatan bahawa kebahagiaan anak itu bermula dari hati ibu bapa yang reda. Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts