Sebagai Ketua Tentera, baginda telah menyedari taktik untuk menyerbu dan menyerang tentera Islam yang seperti itu. Lalu baginda membalas serangan secara barisan yang berlapis-lapis.
Apabila barisan pertama bertempur dengan musuh yang datang menyerbu, barisan kedua tentera Islam pula menyerbu musuh yang sedang bertempur dengan barisan pertama itu. Ini diikuti dengan barisan ketiga akan membantu barisan pertama dan kedua untuk mengalahkan serangan pertama pihak musuh itu.
Begitulah taktik peperangan yang Nabi perkenalkan.
Sambil menyerang, tentera-tentera Islam akan melaung-laungkan "Amit! Amit!" (bunuh! bunuh!) dengan begitu bersemangat sekali untuk mengalahkan musuh.
Taktik seperti ini berjaya menggemparkan dan mengharu-birukan pihak musuh. Ramai anggota tentera musuh yang mati kerana tidak mampu mempertahankan diri daripada serangan tentera Islam yang datang berlapis-lapis dan bertubi-tubi itu. Akhirnya bendera atau panji Quraisy yang dibawa tidak sahaja bertukar tangan kerana setiap kali ia cuba dipertahankan maka setiap kali itu juga tentera Islam akan memanah si pemegang dengan tepat mahupun akan memenggal tangan sehingga putus. Sehinggalah bendera itu itu sendiri jatuh melayang menyembah bumi dan semakin ramailah juga tentera kafir Quraisy yang bertempiaran lari.
Abu Dujanah sendiri dengan serban merah yang sangat menggerunkan itu benar-benar menunaikan hak pedang yang dipinjamkan daripada Rasulullah itu.
Antara yang dilaungkan oleh Abu Dujanah yang turut menimbulkan gerun di hati semua orang; "Akulah orangnya yang dijanjikan kekasihku.
Tatkala kami di As Safah di rimbunan pohon kurma
Bahawa selamanya aku tidak akan berundur ke belakang
Aku melibas milik Allah dan Rasul akan sebilah tajamnya pedang!"
Abu Dujanah benar-benar mengkucar-kacirkan barisan tentera Musyrikin.
Malah jika bertemu buku dengan ruas, sama kuat dan sama gagah maka kepintaran lebih memberikannya peluang untuk mengalahkan musuh. Sekalipun perisainya dapat menahan serangan musuh, saat itu jugalah Abu Dujanah membalas sepantas kilat dia membunuh.
Abu Dujanah sentiasa mampu mara ke hadapan umpama musuh yang menjadi semak samun berjaya ditebas dan memberikan satu lorong baru untuk beliau lalui.
Sehinggalah Abu Dujanah sampai ke barisan musuh yang dianggotai oleh tentera perempuan.
Saat itu, Abu Dujanah tidak menyedari bahawa yang di hadapannya kini adalah seorang perempuan dan hampir-hampir sahaja beliau hendak terus menyerang dan sekali gus membunuhnya.
"Aku melihat seorang dari pihak musuh sedang mencakar-cakar dan mengherdik orang lain. Lalu aku pun menuju kepadanya untuk kutamatkan riwayatnya.
"Maka apabila aku telah mengangkat pedangku untuk menghabiskan riwayatnya, ia pun berpaling dan alangkah terkejutnya apabila mendapati bahawa dia adalah seorang wanita. Maka aku menghormati pedang Rasulullah ini agar tidak digunakan untuk menetak wanita," kata Abu Dujanah.
Abu Dujanah sebenarnya terserempak dengan Hindun itu sendiri dan sebagaimana yang diceritakan oleh Az Zubair bin Al Awwam pula; "Aku melihat Abu Dujanah telah mengangkat pedangnya untuk menetak ke leher Hindun binti Utbah, kemudian ditarik balik pedangnya, lalu aku berkata; Allah dan Rasulnya lebih mengetahui mengapa Abu Dujanah tidak jadi membunuhnya."
No comments:
Post a Comment