And when it was said that the promise of Allah was true, and that the Hour, there was no doubt about its (coming)

Thursday, April 21, 2011

Pengalaman Jurugambar, Banyak Yang Perlu Dipelajari



Di balik sekeping gambar Hillary Clinton

Gambar: Bendera Amerika Syarikat (kanan) kelihatan segar dengan bantuan sebatang penyangkut baju di lekatkan di dalam gulungan bendera itu ketika majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Kerajaan Malaysia yang di wakili oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dengan Kerajaan Amerika Syarikat, diwakili oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodhan Clinton yang disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangunan Perdana Putra di sini, baru-baru ini.

Menjadi satu pengalaman amat berharga buat jurugambar Bernama ketika membuat liputan lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Rodham Clinton baru-baru ini.

Mungkin tidak setanding pengalamannya merakam gambar peperangan di Iraq tujuh tahun lalu, tetapi Harry Salzman Abu Bakar menganggap persediaan sebelum mengambil gambar pegawai diplomat tertinggi negara maju itu harus diteladani bukan sahaja buat dirinya tetapi bagi pemimpin-pemimpin yang ingin gambar mereka menjadi lebih menonjol.

Apa yang diminta oleh pegawai pengiring Clinton beberapa minit sebelum majlis bermula mungkin dilihat remeh tetapi itu merupakan perincian bagi mendapatkan hasil gambar yang terbaik dan menjadikan pemimpin mereka itu kelihatan lebih menyerlah.

"Sebagai satu-satunya jurugambar mewakili media rasmi saya diajak berbincang tentang persediaan untuk mengambil gambar bekas wanita pertama Amerika Syarikat.

"Saya diberitahu lebih awal warna pakaian yang akan dipakai oleh Secretary Clinton agar dapat menyediakan penataan cahaya yang sesuai," katanya.

Ketika itu Harry Salzman ditugaskan untuk mengambil gambar majlis menandatangani tiga perjanjian persefahaman antara Malaysia dan Amerika Syarikat di Pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya Selasa lalu.

"Mereka juga bertanya kepada saya keadaan manakah yang sesuai bagi posisi badan pemimpin itu sama ada mengadap ke hadapan atau mengiring ketika berdiri untuk bersalaman selepas menandatangani perjanjian.

"Apabila saya bersetuju posisi bagaimana yang saya mahu, mereka terus menandakan di atas lantai kedudukan yang harus Secretary Clinton berdiri kelak," katanya.

Hasilnya jika dilihat daripada gambar yang diambil, memang anda akan lihat posisi beliau kelihatan 'segak' dan 'kemas' berbanding orang di sekelilingnya, kata anak Perlis ini.

Malah Harry Salzman berkata cara Clinton memegang folder perjanjian sambil bersalaman juga dititikberatkan bagi menunjukkan penghargaan dan mencerminkan "ia urusan yang penting."

Harry Salzman juga berkata beliau sempat melihat bagaimana pegawai-pegawai negara itu menitikberatkan kedudukan bendera yang diletakkan di sebelah pemimpin itu agar kelihatan 'segar' dan 'bermaya'.

"Sebatang penyangkut baju diletakkan dalam gulungan bendera itu agar kelihatan lebih rapi.

"Selain itu, buku lawatan dan folder perjanjian yang bakal ditandatangani Clinton juga ditanda lebih awal agar mudah pemimpin itu untuk menurunkan tandatangannya," katanya.

Malah mereka tidak menggalakkan kehadiran 'dayang-dayang' untuk menunjukkan bahagian mana yang perlu ditandatangani ketika majlis berlangsung, katanya.

Warna tirai baldu juga ditetapkan sebagai biru gelap, digunakan di belakang upacara menandatangani perjanjian dan dibiarkan kosong tanpa sebarang latar belakang yang ditulis berkaitan majlis berkenaan.

Mereka mengatakan mereka tidak mahu menggunakan tirai berwarna terang atau berkilat supaya penataan cahaya lebih baik untuk kamera.

"Cuba kita fikirkan mengapa mereka perlu memikirkan tentang semua ini untuk pemimpin mereka," katanya.

Harry Salzman berkata untuk meletakkan replika kecil kapal terbang bagi majlis memeterai perjanjian antara Malaysia Airlines dan Pratt and Whitney juga diperincikan.

"Saya ditanya di mana mahu diletakkan replika itu. Selepas mendapat sudut yang saya mahu, sekali lagi dibuat satu tanda di atas meja di mana apabila giliran perjanjian itu tiba untuk ditandatangani, replika itu akan diletakkan di tempat yang saya mahukan."

Harry Salzman berkata beliau turut teruja untuk mengambil gambar setiausaha negara itu yang dilihat pandai membuat 'gerakan' yang disukai oleh mana-mana jurugambar untuk merakam gambarnya.

"Beliau kelihatan 'hidup' walaupun gambar diambil dalam bentuk 'stills'.

Pergerakan tangan, senyuman yang lebar dan pandangan yang lembut tapi tepat ke arah lensa dari matanya yang biru.

"Saya berharap pemimpin dan pegawai lain juga dapat menonjolkan diri sepertinya walaupun setakat bergambar. Gambar turut memberi impaknya. Bukankah satu gambar boleh memberi seribu satu cerita?" --Bernama

Ulasan GB

Tidak mudah untuk menjadi seorang jurugambar yang profesyenal kecuali kegigihan dan ketekunan untuk terus belajar.

Kesilapan mengambil gambar akan hanya mengundang padah. Malah mengaibkan. Dan ia kadangkala menjadi bahan untuk ditertawakan orang. Contohnya di dalam PRK Galas tempohari bagaimana kesilapan jurugambar merakam satu acara kemudian disebarkan melalui blog rasminya.


Di satu majlis calon PAS bersama orang Asli, tetapi berlatarbelakangkan bendera UMNO BN!


Begitu juga mendesign dan melakarkan poster/banner untuk tatapan umum. GB temui ini di dalam facebook PRK N.45 Galas. Perhatikan gambar di bawah ini dan camkan dimana silapnya?



Gambar di atas sepatutnya betul. Ia cuba membersihkan semula fitnah yang dilemparkan UMNO terhadap PAS mengenai isu pemberian zakat kepada muallaf. Tetapi yang dibesarkan ia "gambar" TGNA menyampaikan wang tersebut .. sedangkan itulah gambar yang digunakan oleh musuh terhadap PAS.

Sekali imbas orang tidak membaca apa-apa di banner, mereka hanya menumpukan perhatian apa yang ada di gambar. Jadi poster itu "membantu" UMNO untuk menyatakan TGNA memberikan sogokan wang kepada orang asli.

Sepatutnya yang diperbesarkan oleh ayat Al-Quran tersebut yang memerintahkan agar sedeqah diperuntukkan hanya kepada golongan faqir, miskin, amil dan mualaf.

Mesej itu tidak sampai kepada rakyat. Mesej yang sampai ialah apa yang dilihat pada gambar itu yang telah sengaja disalahfahamkan oleh UMNO.


Begitulah juga tulisan dan gambar-gambar yang diletakkan di dalam blogger.

Seorang blogger yang prihatin dan seorang blogger yang bagus akan sentiasa menitik-beratkan soal "persembahan" selain dari sekadar menjadi penyalin-tampal sesuatu entri. Mesej bukan sahaja kena betul dan tepat, tetapi terang dan jelas agar apa yang hendak disampaikan itu tiba kepada pembacanya.

Sabda Nabi di dalam hadis qudsi:

"Allah menyukai apabila seseorang itu melakukan tugas, dilakukan dengan sebaik-baiknya".
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts