And when it was said that the promise of Allah was true, and that the Hour, there was no doubt about its (coming)

Thursday, April 21, 2011

Miskin hati antara sifat Mazmumah





Pernahkah anda rasa lebih miskin setelah mendapat sesuatu? Ramai yang pernah  saya tanyakan mengakui pernah. Bila saya tanyakan lagi, mengapa?  Mereka  menjawab,  sebab  keinginan  jadi semakin bertambah. Ketika duit sedikit keinginan mungkin hanya satu. Tetapi  bila duit mula bertambah, keinginan jadi 2, 3, 4 dan seterusnya. Dan paling malang  bila  kadar  pertambahan duit  itu  adalah  rendah berbanding  kadar  peningkatan keinginan dan kita akan menjadi lebih “kurang”  dan “miskin’  daripada sebelumnya! Inilah sifat tabie manusia yang diceritakan dalam al Quran, “sangat mendalam cintanya kepada kepada  harta”. Tanpa kawalan iman, keinginan itu akan menjahanamkan.


Psikologi ini malangnya dieksploitasi semaksimumnya oleh para kapitalis. Mereka tahu sebaik manusia  mendapat  sesuatu, keinginan mereka mula berpindah  kepada  sesuatu  yang lain pula. Inilah sebalik penciptaan  produk dan perkhidmatan yang begitu laju. Fesyen pakaian, jenama produk, eksesori alat telekomunikasi, menu makanan  yang sentiasa dinamik.

Dibius  atas  nama “kemajuan”, manusia disiksa dengan pelbagai keinginan yang  tidak  bertepian. Lalu  kapitalis  memperalatkan  kehendak nafsu manusia yang tidak ada batas dan tidak mengenal puas walaupun di sana  Al Quran ada  mengingatkan,  “tidaklah  kehidupan dunia ini melainkan mata benda  yang  menipu  daya! Mari ikuti tulisan ini “jangan dicari neraka dunia. Carilah syurga dunia”. Tetapi sebelum itu ikuti kisah ini. 

Cerita ini pendek dan ringkas sahaja. Namun  pengajarannya  cukup  relevan dan padat. Ia mengisahkan seorang  budak  yang  telah kehilangan sejumlah wang dalam perjalanannya ke kedai untuk membeli gula-gula. Setelah puas mencari wangnya yang hilang tetapi  tidak  juga ditemuinya, maka budak itu kecewa lalu menangis teresak-esak   di  tepi jalan. Tangisannya itu telah menarik perhatian seorang tua yang  kebetulan  sedang  berjalan  di  situ. 

Orang tua itu berhenti dan lalu bertanya  “mengapa  engkau  menangis wahai budak?”.

Budak itu menjawab,  “saya  kehilangan wang untuk membeli gula-gula.” 

Orang  tua  itu pun  bersimpati  lalu  berkata,  “hentikanlah tangisanmu dan ini wang Pak Cik sebagai  gantinya.” 

Budak itupun menerima wang tersebut. Namun sejurus  kemudian  dia menangis lagi. Malah kali ini tangisannya jauh lebih kuat.  

Pak  Cik  tadi  kehairanan  lalu bertanya, “kenapa engkau menangis lagi? Bukankah  wangmu  yang hilang  itu  telah  kugantikan?

Budak itu terus  menjawab,  “saya menangis kerana jika wang sebelumnya tidak hilang, maka sudah  tentu  sekarang  saya memiliki lebih banyak wang!”

Iktibar dari  kisah  ini  sebenarnya  adalah  berkisar  di sekitar sifat tamak dan kerakusan manusia. Budak dalam kisah ini adalah lambang tabiat manusia yang tidak sabar dengan apa yang hilang dan tidak pernah puas dengan apa yang  ada.  Pada  dasarnya,  keadaan  ini  berlaku kerana dua sifat yang semakin pupus dalam jiwa manusia yakni sifat sabar dan sifat syukur.

Tangisan  pertama,  menunjukkan  budak itu tidak sabar dengan kehilangan wangnya.  Manakala tangisan  kedua  pula  menunjukkan  budak  itu tidak bersyukur  dengan  apa yang ada. Dalam kedua-dua keadaan kanak-kanak itu susah  hati.  Susah  hati  inilah  yang  menyebabkan  ia menangis. Susah hatinya  kerana  tidak  sabar. Susah hatinya kerana tidak syukur. Pendek  kata cerita  ini membuktikan bahawa lebih atau kurangnya harta bukanlah  faktor yang menentukan ketenangan jiwa.


Timbul  pertanyaan  dihati  kita,  apa sebenarnya ketenangan itu? Dan ia terletak  di  mana? Adalah  sesuatu  yang biasa jika manusia susah hati apabila  ditimpa  kemiskinan. Tetapi sangat aneh, mengapa  ada orang yang masih  susah  hati  ketika  dilimpahi  kekayaan? Ini satu persoalan yang menarik  untuk  dibincangkan.  Sebenarnya  dalam  Islam hakikat kekayaan ialah  kaya hati. Inilah  kekayaan  yang  hakiki.
Rasulullah SAW telah bersabda:  “Tidaklah  orang itu kaya lantaran banyak harta. Sesungguhnya   orang  kaya  itu  ialah  orang  yang kaya jiwa.”
Rasulullah SAW bersabda  lagi:  “Bukanlah  dinamakan  kaya  itu  kerana  berlimpah ruahnya harta,  tetapi yang dinamakan kaya itu ialah kaya jiwa.”
Apakah yang dimaksudkan dengan kaya hati? Kaya hati ialah hati itu mampu bersabar apabila ditimpa kemiskinan dan mampu bersyukur apabila mendapat kekayaan.  Dan  dalam  apa  jua keadaan  orang  yang memiliki hati yang sedemikian  akan  mendapat  ketenangan dalam hidupnya. Ketenangan inilah  yang  menjadi  asas  dan  teras  pada  kekayaan  hakiki  pada seseorang individu. Dan Maha Adil Tuhan yang telah menentukan bahawa kekayaan hati  itu  boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja tidak kira simiskin atau sikaya.  Asalkan  sahaja  hati  itu  dihubungkan dengan Allah, maka hati itu akan tenang.
Firman  Allah:  “Ketahuilah  dengan  mengingati  Allah hati akan menjadi tenang.” 
Al  Ra’d Soalnya bagaimana hati seseorang boleh menjadi tenang dengan  mengingati  Tuhan?  Ini kerana apabila hati seseorang mengingati Tuhan  maka  seseorang  individu  itu akan sedar, insaf dan faham apakah maksud  ketentuan  dan  takdir  Tuhan  yang  telah menimpa dirinya. Bila ditimpa  musibah,  katalah  kemiskinan,  dia  sedar  bahawa  itu  adalah ketentuan  dari  Allah yang  wajib diterima atas sifatnya sebagai hamba Allah.

Walaupun  dia  telah  berusaha  segigih  dan sekuat mungkin, tetapi jika ditakdirkan miskin diterimanya ketentuan itu dengan hati yang sabar.   Dalam hatinya dia berkata, “takdir sentiasa mengatasi tadbir. Tentu ada hikmah  di sebalik  kepahitan ini.”Dia tidak aka n menyalahkan dirinya,   orang lain, apalagi Tuhan atas nasib yang menimpanya. Kerana apa? Kerana  dia  sedar sebagai  hamba  dia hanya mampu berusaha tetapi ketentuan di  tangan Allah.  Maka  dengan keyakinan yang sebegini orang tersebut akan merasai satu  ketenangan dan kelapangan yang menjadikan dia tidak mudah  untuk marah-marah dan kecewa dalam hidupnya.

Dia  yakin,  bahawa  semua takdir Allah itu adalah baik kerana ia datang dari Allah (Yang Maha Pengasih) walaupun jika dilihat secara lahiriahnya kelihatan negatif. Sebab itu kita diajar mengucapkan “innalillah wa inna ilahirajiun…”  ertinya  kami  datang dari Allah dan kepada Allah kami  akan  dikembalikan. Tegasnya,  ucapan ini mengingatkan kita bahawa kita adalah  hambaNya. Maka jika kita sedar akan hakikat itu, layakkah kita  sebagai  hamba untuk ‘memberontak’ menentang sebarang ketentuan Allah? Walaupun  patuh kepada-Nya bukanlah alasan untuk tidak berusaha menolak  kemiskinan, kesakitan dan kegagalan namun jika ia berlaku juga tentulah  ada kebaikan yang tersembunyi.

Dan  hakikat itu pastinya tidak dapat kita singkap dengan akal kita yang sejengkal  berbanding  dengan  ilmu  Allah  yang Maha luas.

Lupakah kita bahawa  Allah SWT pernah mengingatkan bahawa,“Dan ada perkara yang kamu benci tetapi  itu  membawa  kebaikan bagi kamu dan ada perkara yang kamu sukai  tetapi  itu  tidak baik bagi kamu. Allah lebih mengetahui dan kamu tidak  mengetahui.” 

Orang  yang  hatinya  mengingati  Allah juga akan bersifat  syukur  apabila mendapat nikmat. Hatinya tidak terlalu melonjak-lonjak,  sombong,  zalim dan memandang rendah kepada orang lain. Dia sedar bahawa  kelebihan  yang diberikan  kepadanya  hakikatnya  adalah  satu  amanah  daripada  Allah yang  mempunyai  maksud  tertentu  untuk  difahami  dan dilaksanakannya.

Syukur ertinya, menyedari bahawa nikmat itu adalah dari Allah SWT seterusnya menggunakan   nikmat   itu  selaras  dengan  tujuan  pengurniaan  nikmat tersebut.  Jika  dia diberi  kekayaan, dia sedar itu adalah amanah dari Allah untuk  membantu  hamba  Allah  yang lain. Maka  dibelanjakanlah kelebihan itu untuk membantu fakir miskin melalui ibadah zakat, sedekah dan hibah. Jika dia pandai, dia rasa kepandaian itu datangnya dari Allah lalu  digunakannya kepandaian itu untuk mengajar orang lain dan membantu masyarakat.

Dia  tidak  sombong seperti Qarun, yang merasai kekayaannya adalah hasil kepandaiannya berniaga. Sebaliknya dia mewarisi sifat Nabi Sulaiman yang apabila  dipuji  dia  berkata:  “Semua ini  adalah  pemberian Tuhanku.” Justeru   apabila  kita  dikurniakan  nikmat,  kita  akan  diajar untuk mengucapkan  Alhamdulillah,  ertinya, Segala Puji Bagi Allah. Apa rahsia di  sebalik  ucapan ini? Ertinya, kita diminta memuji Allah bukan memuji  diri  kita apabila mendapat nikmat. Bila dikurniakan harta, kita ucapkan  ‘segala  puji  bagi Allah’ yang bermaksud Tuhan itulah yang mengurniakan  harta  kepada  kita  dan  kepada-Nyalah kita wajib berterima-kasih. Hati  kita akan puas dengan apa yang diberikan-Nya. 

Sebaliknya  jika  kita tidak rasakan itu pemberian dari Tuhan, maka kita akan ditimpa  oleh  dua kemungkinan  –  satu  rasa sombong diri dengan kelebihan dan  kurniaan  itu.  Atau  yang  kedua, rasa belum cukup puas dengan  apa yang ada dan terus haloba dengan apa yang tiada. Mencari dan terus mencari, umpama  orang  yang minum air laut, makin diminum makin haus.  Fenomena inilah  yang  melahirkan amalan ‘jenayah kolar putih’  rasuah,  penyelewengan dan  berbagai-bagai skandal  kewangan dikalangan  orang atasan.

Sudah kaya harta, tapi masih tamak kerana miskin hatinya. Hakikat inilah yang  pernah digambar oleh maksud hadis bahawa jika dunia ini diserahkan kepada seorang yang tamak, maka dia akan menuntut sebuah lagi dunia yang seumpanya.  Inilah  bahana  kerakusan nafsu yang tidak pernah kenal erti cukup  dan  puas.  Ya, jika direnung dalam-dalam, ramai manusia hari ini tidak  kira di mana, walau siapapun dirinya, dan pada bila-bila masapun, telah  mengalami  ‘sakit  rohani’  seperti yang tertera dalam kisah ini.
 
Memang, sifat sabar dan syukur jarang dimiliki oleh manusia. Manusia selalunya  bersifat keluh-kesah  bila  ditimpa musibah, tetapi  lupakan  diri apabila menerima nikmat. Tidak sabar dan tidak syukur ini menyebabkan manusia  menderita  dalam  apa jua keadaan – sama ada dalam kekurangan atau  dalam  kelebihan. Benarlah kata hukama bahawa, “barang  siapa yang tidak cukup dengan yang sedikit, pasti tidak akan puas dengan  yang banyak.”  Sama  seperti  budak dalam  cerita  ini  hilang wang menangis, dapat wang pun masih menangis. Jelaslah bahawa wang dan harta bukanlah ukuran ketenangan jiwa dan kebahagiaan hidup.

Ya,  wang  tidak  dinafikan  perlu  untuk  kebahagiaan  hidup  tetapi ia bukanlah  satu-satunya faktor yang menjamin kebahagiaan. Dunia masakini telah  dihuni  oleh  ramai  orang  miskin  yang kecewa, marah dan hasad terhadap  kekayaan  orang  lain.  Dan  dengan sifat-sifat negatif itulah mereka terdorong untuk melakukan perbuatan mencuri, merompak dan rasuah. Kemiskinan  harta yang dialami diiringi juga oleh kemiskinan hati. Dunia masakini  juga telah dipenuhi oleh orang kaya yang tidak bersyukur, yang terus  merasa  miskin  walaupun  ditimbuni  oleh wang ringgit dan harta. Akibat kemiskinan hati, orang kaya ini sentiasa merasa kurang dengan apa yang ada.

Akibatnya,  berlakulah penyelewengan, rasuah, riba dan lain-lain jenayah kewangan  yang dilakukan  oleh orang yang telah kaya. Dengan adanya dua kelompok  manusia  ini,  dunia  menjadi semakin  huru-hara.  Tidak ada hubungan  yang  harmoni  antara  yang miskin dan kaya. Yang miskin hasad dengki  manakala  yang  kaya  pula terus  tamak dan sombong. Moral dari cerita ini ialah carilah kekayaan hati di samping mencari kekayaan  harta. Kekayaan  hati  bukan sahaja penting di akhirat sebagai jaminan keselamatan  dan  kebahagiaan  di  sana.  Namun  ia juga  penting untuk kebahagiaan kita di alam dunia ini lagi.

Percayalah,  ketenangan  di dunia ini adalah bayangan kepada kebahagiaan di akhirat.  Justeru dunia adalah ‘ladang’ akhirat. Bagaimana kita akan dapat menuai  hasil  yang baik dan lumayan di akhirat nanti, jika pokok yang  kita tanam  di  dunia bantut dan kering layu? 
Sebab itu ahli sufi pernah  berkata: “Carilah  syurga  yang disegerakan di dunia (Ajjanatul Ajilah)  yang  berupa  ketenangan  hati  kerana  barangsiapa  yang tidak mendapat  syurga  di  dunia  lagi,  maka  sukarlah ia mendapat syurga di akhirat nanti!”
Nikmatnya syurga dunia hati sentiasa lapang, tenang. Kaya, syukur.  Miskin, sabar. Inilah hakikatnya perjuangan kita di dunia.
 
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts