And when it was said that the promise of Allah was true, and that the Hour, there was no doubt about its (coming)

Tuesday, April 5, 2011

Kepentingan Wasiat


PENGERTIAN WASIAT
Wasiat ialah suatu hasrat atau keinginan yang dizahirkan secara lisan atau bertulis oleh seseorang mengenai hartanya untuk diuruskan selepas berlaku kematiannya. Tetapi wasiat yang dibuat secara lisan adalah terdedah kepada fitnah akibat arahan yang tidak jelas dan boleh dipertikaikan di kalangan ahli waris.
DALIL WASIAT
Wasiat adalah dibenarkan di dalam Islam. Wasiat disyariatkan melalui dalil Al-Quran, Sunnah Nabi s.a.w., amalan sahabat dan ijma' ulama'.
Dalam Al-Quran, ALLAH berfirman:
(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat oleh simati dan sesudah dibayarkan hutangnya. - Surah Al-Baqarah: 180
Dalam Sunnah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
Seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiat di sisinya.
- Hadis riwayat Bukhari dan Muslim
Hadis ini menyebut kalimah 'tidak sepatutnya' menunjukkan bahawa langkah persediaan perlu diambil oleh setiap seorang Muslim dengan menulis wasiatnya kerana dia tidak mengetahui bila ajalnya akan tiba. Kemungkinan kelalaiannya akan mengakibatkan segala hajatnya tergendala dan tidak terlaksana.
Rasulullah s.a.w. turut bersabda:
Orang yang malang ialah orang yang tidak sempat berwasiat.
- Hadis riwayat Ibnu Majah
Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:
Sesiapa yang meninggal dunia dengan meninggalkan wasiat maka dia mati di atas jalan Islam dan mengikut sunnah. Dia mati dalam keadaan bertaqwa, bersyahadah dan dalam keadaan diampunkan.
- Hadis riwayat Ibnu Majah
CIRI-CIRI WASIAT ISLAM
Terdapat beberapa ciri dan prinsip wasiat Islam yang perlu dipatuhi:
1. Harta yang hendak diwasiatkan mestilah tidak lebih daripada sepertiga (1/3) daripada harta pusaka bersih kecuali mendapat persetujuan daripada ahli-ahli waris.
2. Penerimanya hendaklah bukan waris iaitu mereka yang tiada hak faraid ke atas pusaka simati kecuali mendapat persetujuan daripada ahli-ahli waris yang lain.
3. Jika penerima wasiat meninggal dunia semasa hayat pewasiat, maka wasiat tersebut adalah terbatal.
4. Jika penerima wasiat meninggal dunia selepas menerima wasiat dan selepas kematian pewasiat, maka haknya boleh diwarisi oleh waris penerima.
5. Selepas kematian pewasiat, perlu ditolak dahulu kos perbelanjaan pengkebumian dan pembayaran hutang simati.
6. Wasiat boleh ditarikbalik pada bila-bila masa kerana ia hanya berkuatkuasa selepas kematian pewasiat dan wasiat tersebut perlulah dibuat secara sukarela.
KEPERLUAN WASIAT
TIGA SEBAB UTAMA MENGAPA ANDA PERLU MEMILIKI DOKUMEN WASIAT
Terdapat begitu banyak sebab mengapa anda perlu memiliki dokumen wasiat, namun terdapat tiga sebab utama yang seharusnya diberi perhatian berat khususnya bagi seseorang Muslim Mukmin.
1. MEMPERCEPAT PROSES PENYELESAIAN PUSAKA
Apabila berlaku kematian, sebahagian besar harta-harta simati akan dibekukan. Dengan memiliki dokumen wasiat, proses untuk mendapatkan Geran Probet (surat kuasa untuk mentadbir pusaka) oleh wasi yang telah dinamakan di dalam wasiat lebih mudah dan cepat. Lebih lengkap dokumen wasiat (seperti penyenaraian harta, hutang, harta sepencarian dsbnya) maka lebih cepat proses pentadbiran harta pusaka dapat diselesaikan.
Secara umumnya, tempoh penyelesaian pusaka dengan adanya wasiat ialah di antara 4 – 12 bulan berbanding di antara 2 – 5 tahun (atau lebih) tanpa dokumen wasiat. Lebih lama proses penyelesaian, maka selama itulah juga kesengsaraan yang akan dirasai oleh waris-waris yang kita tinggalkan.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk topik “Pentadbiran Pusaka”.
Pernahkah anda terfikir apa akan berlaku kepada isteri/suami dan orang-orang kesayangan anda jika anda meninggalkan mereka tanpa wasiat? Kemungkinan besar, inilah yang akan berlaku:
Susah Payah Akibat Birokrasi
Mahukah anda membiarkan isteri dan orang yang anda sayangi berpenat-lelah ke hulu ke hilir turun-naik mahkamah untuk mendapatkan haknya (menyediakan pelbagai keperluan mahkamah - fakta-fakta, dokumen, pembuktian dsbnya), serta mengharungi pelbagai birokrasi pejabat untuk menguruskan harta bermasalah yang anda tinggalkan kepada mereka (dalam ertikata lain - tidak terurus & "berterabur" di sana-sini), akibat tiada persediaan & perancangan?
Tekanan Jiwa Akibat Perbalahan & Hilang Punca Pendapatan
Tanpa persediaan, orang kesayangan anda akan mengalami tekanan demi tekanan akibat perbalahan dan perebutan yang mungkin berlaku di kalangan kaum keluarga dan saudara-mara, yang sepatutnya membantu tetapi sebaliknya lebih banyak menyusahkan!!
Berdasarkan fakta, begitu banyak kes yang tidak dapat diselesaikan akibat tidak mendapat kerjasama daripada saudara-mara dan ahli keluarga atas pelbagai sebab!
Bayangkan, pada masa yang sama beliau perlu memikirkan bagaimana untuk menggantikan punca pendapatan yang hilang bagi menyara kehidupan mereka seterusnya, tanpa anda!!!
2. MELUNASKAN HUTANG DAN TANGGUNGAN
Pada zaman ini, boleh dikatakan sebahagian besar daripada kita berhutang, ada yang banyak, ada yang sedikit. Berhutang atau meminjam untuk keperluan adalah dibenarkan dalam Islam, namun Islam turut menekankan dengan tegas mengenai tanggungjawab untuk membayar hutang, walaupun selepas kematian.
Antara peringatan yang disabdakan oleh Rasulullah saw:
Sesungguhnya orang yang berhutang terpenjara di kuburnya sehingga hutang tersebut diselesaikan (oleh saudara-maranya).
- Hadis riwayat At-Tabrani
Malah tidak terkecuali bagi mereka yang mati syahid sepertimana sabda Rasulullah s.a.w.:
Diampuni semua dosa orang yang mati syahid kecuali hutang.
- Hadis riwayat Muslim
Berdasarkan hadis-hadis di atas, bermakna seseorang Muslim itu amat memerlukan waris-waris & saudara-mara mereka yang masih hidup untuk menyelesaikan segala tanggungan hutang yang ada selepas kematiannya.
Persoalannya:
Tahukah saudara mara dan waris-waris anda mengenai hutang-hutang yang anda ada? Berapa ramai di antara kita yang mempunyai hutang tetapi tidak bertulis sedangkan itulah yang disarankan di dalam al-Quran? Sekiranya ini berlaku iaitu bagi hutang yang tidak bertulis, apakah jaminan bahawa hutang-hutang tersebut akan diselesaikan oleh waris-waris kita?
Oleh itu, salah satu daripada keperluan dokumen wasiat ialah untuk anda menyenaraikan dengan lengkap segala jenis harta dan tanggungan hutang anda supaya dapat diuruskan dengan licin dan sempurna oleh waris-waris anda. Ini bermakna dokumen wasiat merupakan satu dokumen yang teramat penting untuk anda miliki kerana dokumen wasiat inilah yang akan menjadi sumber rujukan utama mengenai harta dan tanggungan anda selepas ketiadaan anda kelak.
Tanpa dokumen wasiat, waris-waris tidak boleh berbuat apa-apa mengenai hutang-hutang anda (sebab mereka tidak tahu), dan anda juga tidak boleh berbuat apa-apa ketika itu (sebab tiada peluang kedua untuk anda kembali ke dunia!).
Jadi… Mahukah anda terbelenggu (dengan siksaan yang AMAT PEDIH) di kubur (selagi hutang kita tidak diselesaikan…, selama mana pula???) dan dosa tidak diampuni (apatah lagi jika bukan mati syahid), akibat kelalaian dan kemalasan anda sendiri membuat persediaan? Masihkah anda sanggup BERTANGGUH LAGI seolah-olah ia perkara sampingan? …sedangkan KEMATIAN adalah PASTI???
3. MENYEMPURNAKAN HAK DAN HASRAT
- untuk yang tersayang (yang masih hidup selepas kematian anda)
- untuk diri anda (yang pasti akan mati!)
a) Menyempurnakan HAK (waris yang ditinggalkan)
Menurut Islam, selepas kematian seseorang Muslim, maka wujudlah hak-hak tertentu ke atas harta yang ditinggalkannya. Hak-hak tersebut telahpun ditentukan sendiri oleh ALLAH secara khusus di bawah hukum faraid. Pembahagian faraid kepada yang berhak hukumnya adalah WAJIB untuk ditunaikan, dan FARDHU KIFAYAH kepada umat Islam (khususnya waris-waris) untuk menyelesaikannya. Bagaimanapun terdapat salah faham dalam masyarakat Melayu kita di mana ramai yang merasakan bahawa mereka tidak perlu membuat wasiat kerana telah adanya hukum faraid. Persoalannya, apakah jaminan bahawa mereka (waris-waris) tersebut akan mendapat hak mereka jika kita sendiri tidak membuat langkah-langkah awal bagi memastikan hukum tersebut dapat dilaksanakan dengan sempurna?
Sedarkah anda bahawa umat Islam kita masih jauh ketinggalan dan gagal dalam melaksanakan hukum faraid ini? Realitinya, sebanyak sejuta kes tanah pusaka di Malaysia (laporan Pejabat Tanah) dianggar bernilai RM38 bilion masih tidak dapat diselesaikan kerana masalah pewarisan dan 90% daripadanya adalah milik orang Melayu (yang rata-ratanya beragama Islam). Ini bermakna begitu banyak sekali harta-harta umat Islam yang terbeku dan begitu ramai yang tidak mendapat bahagian hak mereka termasuk mereka yang sepatutnya mendapat hak faraid. Kini timbul persoalan dari segi hukumnya, siapakah yang akan menanggung dosa-dosa ini?
Keadaan di atas berlaku akibat kelalaian dan kegagalan umat Islam sendiri dalam membuat langkah-langkah persediaan ketika hidupnya. Oleh itu, apakah langkah dan persediaan kita sendiri supaya keadaan ini tidak akan berlaku kepada harta-harta kita pula? Dengan persediaan yang baik dan melalui dokumen wasiat yang lengkap dan sempurna, sudah tentu akan dapat MENJAMIN hak-hak untuk mereka yang tersayang (ibu, ayah, isteri, suami, anak-anak) akan mendapat hak mereka (termasuk hak harta sepencarian pasangan) sekaligus hukum faraid dapat ditunaikan.
b) Menyempurnakan HASRAT (pahala berkekalan)
Di samping hak-hak yang memang telah termaktub dalam hukum, kita juga boleh menyempurnakan hasrat dan niat murni kita yang lain khususnya untuk TUJUAN KEBAJIKAN. Melalui wasiat, hasrat untuk membantu atau membela mereka yang tidak mendapat bahagian faraid dapat ditunaikan seperti waris terdinding, cucu yang kematian ayah, anak angkat, ibu bapa angkat, ahli keluarga asal muallaf yang masih tidak beragama Islam dan sebagainya (terhad 1/3 daripada pusaka bersih).
Begitu juga niat untuk menginfaqkan harta melalui amalan sedekah jariah dan berwaqaf untuk manfaat ummah dan ganjaran pahala yang berkekalan sebagaimana sabda Rasulullah saw:
Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: i) sedekah jariah, ii) ilmu yang dimanfaatkan dan iii) anak soleh yang sentiasa mendoakannya.
- Hadis riwayat Muslim
FIKIRKAN AKIBATNYA...
Kepada Orang Tersayang....
>> Sanggupkah kita menganiaya kaum keluarga dan orang-orang yang kita sayangi dengan menyusahkan mereka selepas ketiadaan kita dan apatah lagi sehingga mereka tidak mendapat hak mereka akibat kelalaian kita?
Kepada Diri Sendiri....
>> Dan sanggupkah kita menganiaya diri kita sendiri dengan SIKSAAN yang AMAT PEDIH akibat kegagalan kita menunaikan tanggungjawab kita ketika di dunia sekarang ini?!!
KESIMPULAN
KEMATIAN ADALAH PASTI, cuma yang belum pasti ialah BILA?
YANG PASTI, hari ini kita masih lagi merasai nikmat hidup. Ketika masih hidup inilah kita harus beringat!
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts