Kapten Ferdinand akhirnya mati terbunuh di Kepulauan Cebu, Filipina. Dia gagal untuk menyempurnakan pelayarannya dari Barat ke Barat tanpa berpatah balik dan akhirnya akan terus sampai ke Barat. Tetapi Enrique, Sebastian del Cano, Pigafetta dan beberapa orang lagi telah menjayakan misi itu.
Maka dengan itu, Enrique telah membuktikan bahawa bumi ini bulat. Kerana Enrique yang telah Berjaya menamatkan misi pelayaran pada titik yang sama bermula dari Barat terus ke Barat. Siapakah Enrique..?
Ya, Enrique sebenarnya orang melayu, orang kita. Atau nama melayunya Awang. Dia ialah seorang tawanan perang yang dibawa dari Melaka ke Lisbon, Portugis. Awang ditukar nama kepada Enrique bagi mengelakkan diskriminasi oleh kelasi kapal.
Peristiwa ini berlaku pada tahun 1521 yang jelas tercatat dalam buku sejarah yang dihasilkan oleh orang Itali sendiri, bertajuk “Ferdinand, Why They Became Famous”. Kisah ini juga terkisar didalam novel “Enrique Mengundang Jauh” dan “Hatimu Untuk Siapa” yang dikarang oleh Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj.
Antara laporan sahih pengembara sezaman yang terbaik tentang pelayaran Magellan mengelilingi dunia ialah laporan Antonio Pigafetta yang dikenali sebagai Primo Viaggio Intorno al Mondo (First Voyage Around The World). Penerbitan edisi pertama dalam bahasa Perancis pada 1525 berjudul Le voyage et nauigation, faict par les Espaignolz es Isles Mollucques, manakala edisi Itali hanya terbit pada 1536.
.
Henrich atau Enrique, dikenali dalam sejarah pelayaran dunia sebagai “Enrique of Malacca”. Beliau pada mulanya merupakan hamba kepada tokoh yang dinobatkan sebagai manusia pertama mengelilingi dunia, Ferdinand de Magellan. Sebenarnya beliaulah manusia pertama yang mengelilingi dunia dan mendahului rakan pelautnya yang lain untuk melengkapkan pusingan 360 darjah dengan mengambil masa selama sembilan tahun (dari 1511 hingga 1521).
Catatan sejarah di Lisbon membuktikan bahawa Enrique sememangnya wujud, tetapi kehadirannya samar memandangkan sebagai hamba, riwayat hidup dan pencapaiannya tidak diketengahkan mahupun disanjung. Oleh sebab itu, Magellan diangkat dan dinobatkan sebagai manusia pertama mengelilingi dunia dan fakta sejarah ini kekal hampir 500 tahun.
.
Bermulanya sejarah
Sejarah besar itu bermula ketika Portugis berjaya menakluk Melaka pada 1511. kisah seorang pahlawan Melayu digelar Panglima Awang atau Enrique dalam menyumbang sesuatu kepada peradaban dunia, sebuah sejarah yang jarang diketahui ramai termasuk bangsa Melayu sendiri.
Tewas dalam usahanya menentang Portugis yang cuba menjajah tanah airnya iaitu Melaka, anak muda digelar Panglima Awang dan ratusan lelaki Melaka akhirnya ditawan dan disumbat ke dalam kapal besar milik bangsa Barat itu.
Rakan-rakan lain ramai yang terkorban ketika membela tanah watan, betapa gagah dan meluapnya semangat mengusir penjajah, akhirnya Panglima Awang dan rakan-rakannya tewas dengan kelengkapan senjata senapang dan meriam Portugis.
Dalam kesayuan mengenangkan hilangnya tanah air tercinta akibat dijajah, pemuda Melaka dirantai tangan dan kaki mereka serta dikurung di dalam kapal besar itu. Bagaimanapun Panglima Awang diasingkan kurungannya daripada pemuda Melaka lain.
Kehebatan dan keperkasaannya menyebabkan Wizurai Portugis, Alfonso de Albuquerque menetapkan bahawa Panglima Awang adalah tawanan peribadinya sekali gus hamba kepada dirinya seorang.
Selepas beberapa lama, sauh diangkat dan kapal itu mula belayar membelah lautan meninggalkan bumi Melaka menuju ke benua asing bersama tawanan dan hasil rampasan perang. Kapal itu singgah di Goa dan sebahagian tawanan dijual sebagai hamba di hentian itu. Seterusnya pelayaran diteruskan menuju Lisbon, ibu negara Portugal.
Pelayaran jauh yang memakan masa lama akhirnya merapatkan hubungan antara kapten kapal, Ferdinand de Maggellan dengan Panglima Awang. Betapa lelaki Portugis itu amat tertarik dengan perwatakan pemuda Melaka itu sehingga Panglima Awang diberi keistimewaan dengan dilepaskan dari kurungan manakala rantai di kaki dan tangannya dibuka. Panglima Awang diarah menjadi kuli di atas kapal sepanjang pelayaran dengan syarat pemuda itu tidak memberontak.
Ketika itu jugalah Ferdinand menukarkan nama Melayu Panglima Awang kepada ‘Enrique’, bagi mengelakkan wujudnya diskriminasi kaum dan agama antara masyarakat Portugis dan kelasi kapal lain dengan pemuda Melaka itu.
Setiba di Lisbon, Ferdinand memastikan Panglima Awang terus bersamanya. Persahabatan yang semakin erat menyebabkan kapten itu mengutuskan surat kepada Alfonso memohon lelaki Melayu itu ‘dijual’ kepadanya.
Keizinan diperoleh dan bermulalah hidup Panglima Awang di tanah asing yang jauh berbeza budaya dan bentuk muka bumi berbanding Melaka. Panglima Awang ditugaskan mengusahakan ladang epal di belakang rumah lelaki Portugis itu.
Peribadi mulia dan kegigihan ditunjukkan Panglima Awang semakin membuahkan kepercayaan dan rasa hormat di hati Ferdinand malah turut menarik hati adik lelaki asing itu iaitu Miriam. Hari yang terus berlalu mengeratkan hubungan hati antara dua bangsa itu malah Ferdinand turut merestui hubungan cinta berkenaan.
Sejarah mengelilingi dunia bermula apabila Ferdinand melarikan diri ke Sepanyol bersama Panglima Awang angkara fitnah pihak tertentu yang memusuhinya. Kehebatan, kemahiran dan pengalaman luas selaku pelayar menyebabkan Raja Portugal menghargai Ferdinand tetapi ia turut membenihkan hasad dengki di kalangan musuh yang akhirnya memfitnah kapten kapal itu.
Bagaimanapun, pelarian Ferdinand dan Panglima Awang ke Sepanyol diterima baik ketua negara itu, Raja Charles I, lantaran reputasi Ferdinand selaku pelayar hebat Portugal sememangnya dikenali dan dikagumi orang Sepanyol.
Di Sepanyol, kemahiran dan pengalaman luas Ferdinand selaku pelayar dimanfaatkan apabila Raja Charles I mengarahkan lelaki Portugis itu belayar mencari tanah dan harta kepada Kerajaan Sepanyol.
Beberapa tahun diperuntukkan untuk membuat persediaan sehingga beberapa kapal berjaya dibina untuk ekspedisi itu dengan kapal terbesar dinamakan ‘Victoria’.
Cadangan pelayaran Sepanyol itu akhirnya sampai ke pengetahuan pemimpin tertinggi Kristian seluruh dunia ketika itu iaitu Pope di Rom. Pope mensyaratkan jika Sepanyol ingin belayar, mereka tidak boleh lagi menghala ke Timur kerana ia sudah diperuntukkan kepada Portugis. Sebaliknya Sepanyol perlu belayar ke Barat.
Tindakan itu menimbulkan kekhuatiran di kalangan ramai kelasi kerana pelayaran ke Barat masih belum banyak diterokai. Akibatnya, tanpa kelasi, Ferdinand terpaksa mengambil banduan sebagai anak kapal dengan tawaran kebebasan dan kemewahan jika mereka mengikuti pelayaran itu. Selain Panglima Awang, seorang lagi orang kanan Ferdinand adalah Sebastian del Cano dan pencatat pelayaran, Pigafetta.
Yang menariknya, Antonio Pigafetta didapati mengikuti ekspedisi Magellan secara sukarela dan bertindak sebagai jurutulis. Pigafetta yang berbangsa Itali belayar bersama-sama Enrique yang dinakhodai oleh Magellan sendiri. Berikutan itu, laporan Pigafetta merupakan rakaman pengalaman langsung setiap peristiwa yang berlaku dan disaksikan sendiri oleh penulisnya sepanjang ekspedisi tersebut.
Pada 1519, kapal besar itu berangkat meninggalkan pelabuhan Seville menuju ke horizon Barat. Pelayaran itu amat sukar berikutan anak kapal tidak berpengalaman malah ada jatuh sakit dan mati. Ramai memberontak dan meminta berpatah balik.
Bagaimanapun penentangan dan konflik yang tidak kunjung padam sepanjang pelayaran sedikit terlerai apabila pelayaran menemui daratan di Barat, kapal itu sudah menjejaki benua baru di Amerika Selatan, setahun kemudian. Pelayaran itu turut menemui Selat Magallaes (Strait Of Magellan) yang dinamakan sempena nama Ferdinand.
Tidak puas dengan penemuan dunia baru itu, Ferdinand ingin meneruskan pelayaran ke Barat sehingga konflik kembali tercetus di kalangan kelasi. Tanggapan bahawa bumi adalah leper menyebabkan mereka khuatir pelayaran terus ke Barat menyebabkan mereka terjatuh ke bawah dunia.
Walaupun menerima tentangan, Ferdinand meneruskan perjalanan dengan sokongan Panglima Awang. Pelayaran yang memasuki Lautan Pasifik kali itu semakin mencetuskan pelbagai masalah. Beberapa kapal hilang malah krisis bekalan makanan yang meruncing menyebabkan kelasi terpaksa memburu tikus dan lipas sebagai makanan.
Penderitaan di kelilingi lautan akhirnya berakhir apabila pada pertengahan 1521, tilikan Panglima Awang menerusi teropong terlihat sesuatu seperti pohon kelapa dari kejauhan. Berita itu disampaikan dan disambut gembira anak kapal bahawa penderitaan mereka berakhir. Mereka tiba di Pulau Mazzava, Cebu, Filipina.
Berlabuh di situ, Panglima Awang merasakan telahannya yang pelayaran berterusan mereka ke Barat sudah menemui dunia Timur adalah benar apabila mendapati pertuturan penduduk pulau itu menyamai Bahasa Melayu. Jauh di sudut hati, dirasakan negeri tanah tumpah darahnya iaitu Melaka semakin hampir.
Kepastian Panglima Awang dan Ferdinand mengenai bumi adalah bulat dan pelayaran mereka ke Barat sudah tembus ke Timur disampaikan kepada anak buah dan disambut gembira. Bagaimanapun satu kesilapan dilakukan.
Kegembiraan kelasi menyebabkan mereka melepaskan bedilan meriam kononnya sebagai keraian tetapi tindakan itu menyebabkan pemerintah Cebu, Raja Hamabun menyangka kehadiran kapal asing itu adalah untuk berperang dan mereka memulakan serangan.
Dalam pertempuran itu, Ferdinand dan ramai anak kapal terbunuh malah kapal Sepanyol itu dihancurkan sehingga tinggal sebuah kapal saja iaitu Victoria yang sempat meloloskan diri. Berikutan Panglima Awang berbangsa asing, Sabastian dipilih selaku kapten tetapi dia tidak memiliki semangat dan pengalaman luas menyebabkan tugas mengemudi pelayaran dilakukan mengikut arahan Panglima Awang.
Pandangan Panglima Awang bahawa mereka sudah hampir dengan Melaka ternyata benar apabila melintasi tanah Semenanjung. Tetapi disebabkan khuatir diserang Portugis yang menguasai Melaka lantaran Sepanyol adalah seteru Portugal, kapal itu tidak singgah di tanah kelahiran Panglima Awang.
Tambahan pula mereka sudah ‘melanggar’ perintah Pope dengan memasuki kawasan pelayaran orang Portugis menyebabkan mereka menukarkan bendera Sepanyol kepada bendera Portugis sebagai penyamaran dan meneruskan perjalanan pulang ke Sepanyol.
Pelayaran diteruskan dan berakhir apabila mereka tiba kembali di Sepanyol. Di hadapan Raja Charles I, mereka menghadap mempersembahkan cerita besar pelayaran mereka ke Barat sehingga pulang dari arah Timur.
Bagaimanapun raja itu kecewa kerana bukan bukti besar itu yang dimahukannya, raja itu kepingin harta dan tanah jajahan baru menerusi pelayaran itu.
Memandangkan Panglima Awang berbangsa asing, pengiktirafan sejarah itu diberikan kepada Ferdinand walaupun Panglima Awang adalah orang yang bertanggungjawab menyelesaikan ekspedisi mengelilingi bumi buat julung kalinya selepas Ferdinand gagal dan mati di Cebu.
Pengiktirafan itu turut menenggelamkan nama ‘Melayu’ selaku bangsa pertama yang mengelilingi bumi seterusnya jasa Panglima Awang turut tidak diketahui ramai termasuk bangsa Melayu.
Mengikut catatan novel sejarah Harun Aminurrashid, Panglima Awang akhirnya kembali semula ke Melaka selepas bertahun berada di tanah asing, menamatkan kisah perjalanan wira Melayu yang tidak didendang itu.
.
Fakta Panglima Awang
Asal usul Panglima Awang sebelum ditawan Portugis masih kekal misteri malah nama sebenarnya dalam Melayu masih tidak diketahui.
‘Panglima Awang’ hanyalah gelaran diberikan Harun Aminurrasid dalam catatannya mengenai sejarah lelaki itu. Selain ‘Panglima Awang’, tokoh pahlawan Melayu itu turut dikenali sebagai ‘Enrique’, ‘Henry The Black’, ‘Henrich’, ‘Ariberto’, ‘Espinosa’ dan pelbagai lagi mengikut sebutan sesuatu bangsa.
Walaupun nama Panglima Awang tidak tercatat dalam manuskrip sejarah Melayu, namanya tercatat dalam catatan sejarah pelbagai bangsa asing. Antaranya catatan Itali menyebutnya sebagai ‘seorang lelaki dari Melaka’ selain catatan Figafetta mengenai pelayaran itu sekali gus membuktikan kewujudan tokoh itu.
Bagaimanapun ada juga ahli Barat yang cuba menutup sejarah kejayaan bangsa Melayu dengan menafikan kewujudan Panglima Awang.
.
Menjadi tanda Tanya..
Diari Pigafetta hanya menyatakan 18 orang yang selamat kembali ke pelabuhan Sanlucar de Barrameda, Sepanyol tetapi nama Enrique atau Panglima Awang tidak disenaraikan.
18 orang ini sampai pada 9 Jun 1522 dengan diketuai oleh Juan Sebastian Elcano dengan kapal La Victoria. Elcano dianggap sebagai orang yang berjaya melengkapkan pelayaran mengelilingi dunia.
Diari Pigafetta tidak menyatakan dengan jelas sama ada Enrique of Melaka kembali ke Melaka, kembali ke Sumatera atau menetap di pulau Cebu, Filipina.
Beberapa persoalan yang memerlukan kajian ialah :
- Apakah mungkin Enrique telah dikristiankan oleh Ferdinand Magellan dan menjadi orang Melayu pertama berjaya dimurtadkan?
- Di manakah letakkan kubur Panglima Awang ini jika telah kembali ke Melaka?
- Mengapa nama Enrique tidak termasuk dalam senarai 18 orang yang sampai ke Serville, Sepanyol itu.
- Mengapa sejarawan barat masih mengiktiraf Ferdinand Magellan sebagai orang pertama mengelilingi dunia dan bukannnya Elcano dan 17 sahabat yang lain dan seorang hamba Melayu bernama Enrique of Melaka atau Henry the Black?
** Maklumat – maklumat diperolehi dari:
- http://resam-melayu.com/2010/05/panglima-awang-siri-1.html
- http://ranjaudunia.blogspot.com/2008/11/enrique-mengundang-jauhsebuah-cerita.html
- http://ms.wikipedia.org/wiki/Panglima_Awang
- Majalah Sirip Bil.71 – Ruangan Editorial
No comments:
Post a Comment