Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah, dari bapanya r.a katanya,;”Seorang lelaki memuji orang lain berhampiran Nabi s.a.w, lalu Nabi s.a.w berkata kepadanya:”Celaka kamu. Bererti kamu memenggal leher saudara kamu. (Kata-kata itu diucapkan baginda berulang kali.)“Apabila seorang kamu memuji saudaranya, seharusnya dia berkata:”Cukuplah bagi si fulan Allah sahaja yang menilainya. Tidak ada yang lebih berhak menilainya selain Allah Taala, sekalipun temannya tahu dia begini dan begitu.”
(Muslim)
HuraianMemang menjadi tanggapan ramai bahawa setiap amalan yang baik akan mendapat pujian dan ganjaran yang besar. Islam tidak menafikan akan hakikat ini tetapi Islam tidak membenarkan umatnya terlalu memandang tinggi akan kebaikan seseorang apatah lagi dengan memuji secara berlebih-lebihan. Di samping itu Islam juga melarang kita daripada memandang remeh akan amalan yang kecil (kurang publisiti) yang dilakukan oleh seseorang kerana berkemungkinan dengan amalan yang dianggap kecil itu sebenarnya mempunyai pahala dan kedudukan yang lebih tinggi dan mulia di sisi Allah S.W.T. Dalam konteks ini Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
“Janganlah kamu memperkecil-kecilkan kebaikan walaupun sedikit. Sekalipun engkau menemui saudaramu dengan wajah yang berseri-seri” (Muslim).
Dalam setiap perbuatan manusia, niat sebenarnya memainkan peranan yang paling utama dan Allah S.W.T sahaja yang tahu akan niat seseorang.
Namun begitu, sebagai orang yang beriman kita seharusnya membetulkan niat sebelum melakukan sesuatu.
Utamakan pandangan Allah daripada pandangan manusia kerana tidak semestinya kedudukan yang baik dan cemerlang di mata manusia itu bermakna bahawa kita juga adalah baik dan cemerlang di sisi Allah S.W.T.
No comments:
Post a Comment