Setiap bangsa pasti memiliki tokoh dipuji dan menjadi inspirasi bagi generasi selepasnya. Kesan peninggalan mereka menjadi sumbangan yang amat bererti untuk kemajuan bangsa dan negara.
Kisah hidup mereka dibukukan, idea dijadikan panduan dan kekentalan semangat mereka menjadi obor optimisme yang sentiasa membakar jiwa generasi baru. Umat Islam di seluruh dunia yang lahir daripada pelbagai etnik budaya dan bangsa sepakat untuk mempunyai seorang yang teragung untuk diikuti. Beliau adalah rasul yang amat dicintai, Muhammad SAW.
Tidak ada seorang manusia pun di bumi ini apabila kita menyebut namanya, mampu melonjakkan revolusi kemanusiaan. Kita berubah menjadi manusia yang bersemangat maju untuk mentadbir alam ini dengan jawatan sebagai Khalifatullah fil Ard. Inilah cetusan himbauan seorang politikus paling ulung, pentadbir negara dan pemimpin seluruh umat di dunia, Muhammad SAW.
Begitulah rahsianya mengapa kita disuruh untuk berselawat ke atas Nabi SAW. Selawat umpama suntikan yang mengandungi kekuatan cinta dan rindu yang mengusik jiwa. Ia mencerahkan wajah, mengukuhkan hentakan kaki dan tangan. ia juga menajamkan akal fikiran dan merubah hidup anda menjadi tertumpu pada perjuangan. Untuk umat, bangsa dan negara!
Selawat adalah bisikan kasih yang mengikrarkan janji manis untuk menjadi setia, reda dan taat. Bukan sekadar hiasan pada bibir, pemanis mulut dan menunjuk riak pada sesama hamba.
Untuk apa selawat jika kenangan kita pada Rasulullah SAW hanya sekadar mengharap pahala yang sepuluh! Sedangkan pada masa sama kita melupakan cita-cita Baginda. Kita meninggalkan perjuangan sunnahnya, membiarkan umat ini mati jiwa dan minda. Sibuk memecah belah perpaduan, suka menyalahkan golongan lain dan hanya memuji golongannya sendiri.
Natijahnya, hilanglah kekuatan umat yang selama ini disatukan oleh rasul-Nya SAW. Jika Baginda masih hidup, pasti berasa amat sedih melihat keadaan seperti ini. Untuk apa selawat itu, padahal di hati rasul-Nya dilanda kesedihan.
Pujilah Rasulullah SAW dengan berselawat kepadanya. Tetapi, berselawatlah dengan nurani yang suci, pemikiran dan idea yang berisi inspirasi. Gerakan yang terfokus pada amal yang soleh dan perjuangan membangunkan umat. Panduan kita adalah sabda Baginda yang maksudnya: "Sesiapa yang tidak menyukai sunnahku dia bukan termasuk golonganku." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Setiap Muslim yang berazam ingin meneruskan perjuangan Nabi SAW kadang-kadang berasa patah semangat dengan ujian yang menjadi rintangannya. Ada juga yang api semangatnya terlalu berkobar-kobar hingga membakar diri sendiri. Sebahagian yang lain mencuba untuk melakukannya secara berkumpulan. Akhirnya, pengorbanan mereka menjadi agenda terselubung untuk kepentingan pemimpin yang tidak bertanggungjawab.
Gerakan dakwah yang dilakukan terpesong menjadi usaha untuk mencari nama, mengejar populariti dan memperbanyak pengikut yang mahu dicucuk hidungnya sesuka hati. Begitu juga ia digunakan untuk menebarkan fanatisme golongan tertentu, yang akhirnya bersikap menyalahkan orang lain dan menimbulkan perpecahan dalam tubuh umat. Itu semua adalah fenomena biasa dilihat dalam kehidupan pejuang dakwah.
Jika kita bersikap terbuka dengan pendapat orang lain dan melapangkan hati untuk memikirkan apakah kesilapannya, mungkin idea yang lebih jitu dan perancangan yang lebih teliti dapat dilakukan
Perjuangan Rasulullah SAW bermula dari dalam rumah Baginda. Isteri yang dikasihi adalah objek dakwah pertama, kemudian anak-anak dan ahli keluarga terdekat. Bagaimana dengan isteri dan anak kita? Sudahkah mereka mendirikan solat, berakhlak mulia dan taat setia kepada Allah dan rasul-Nya?
Kemudian Rasulullah SAW mengumpulkan kekuatan yang berada pada diri sahabatnya. Pada diri Abu Bakar kita belajar bahawa dakwah akan menang dengan kekuatan harta. Kekayaan pada tangan seorang yang beriman menjadi faktor penolong untuk agama Allah.
Untuk itu umat Islam mesti keluar daripada paras kemiskinan supaya tidak terbelenggu dengan kezaliman penjajah. Ekonomi kita boleh dijajah, anak bangsa diperbodoh, hasil bumi dan kekayaan negara menjadi rebutan musuh-musuhnya. Relakah kita mengalami kejadian yang sama seperti saudara kita yang dijajah? Oleh itu, berjuanglah seperti apa yang diperjuangankan oleh Abu Bakar al-Siddiq.
Dalam peribadi Umar al-Khattab kita belajar bahawa dakwah akan menang dengan ketokohan dan populariti yang karismatik supaya Islam dihormati kerana potensi unggul yang ada pada diri umatnya.
Jadilah orang yang bertanggungjawab di rumah, pejabat, jalan raya, pasar, sekolah, ladang dan kilang. Juga di mana saja kita berada, menyumbanglah untuk Islam, bangsa dan negara.
Sudahkah bangsa kita maju dengan potensi ilmu dan teknologi yang mampu menggerunkan bangsa lain? Sesungguhnya dalam diri Umar, murid dan pengikut setia Rasulullah SAW ada kekuatan yang cukup menggerunkan lawannya. Bagaimana dengan kita?
Begitu agungnya perjuangan yang dibentangkan Rasulullah SAW di hadapan sahabatnya. Inilah jalanku, sesiapa yang mengikuti sunnah perjuanganku akan bersamaku di syurga.
Mereka saling bersaing untuk memberi sumbangan kepada Allah dan rasul-Nya. Dengan harta, ilmu, kekuatan fizikal, bahkan menyerahkan jiwa pun mereka sanggup melakukannya demi cinta kepada Allah dan rasul-Nya. Begitulah kekuatan selawat yang melahirkan gerakan untuk mengikuti perjuangan Nabi SAW.
Ambillah waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan.
Ambillahwaktu untuk bermain, itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi.
Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan.
Ambillahwaktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan.
Ambillah waktuuntuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikanTuhan.
Ambillah waktu untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan.
Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah muzik yangmenggetarkan jiwa
Ambillah waktu untuk memberi, itu adalah membuathidup terasa bererti.
Ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilaikeberhasilan.
Ambillah waktu untuk beramal, itu adalah kunci menujusyurga.
No comments:
Post a Comment