And when it was said that the promise of Allah was true, and that the Hour, there was no doubt about its (coming)

Tuesday, April 12, 2011

NGO Serah Memo Pertikai Perbelanjaan Ketenteraan RM23 Billion




NGO serah memo bantah perbelanjaan ketenteraan

Sekumpulan lebih 10 orang aktivis hari ini berhimpun di hadapan Markas Angkatan Tentera, Kuala Lumpur bagi menyerahkan satu memorandum berhubung peruntukan ketenteraan negara yang didakwa semakin meningkat setiap tahun.

Memorandum berkenaan antara lainnya mempertikaikan peningkatan perbelanjaan ketenteraan sehingga RM23 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK).

"(Sedangkan), menteri pelajaran pada masa yang sama mengumumkan terdapat 600 buah sekolah di negara ini berada dalam keadaan kritikal," memorandum itu dipetik.

Memorandum itu juga menyebut, peruntukan perbelanjaan pertahanan mencecah 15.9 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan kerajaan dalam tempoh RMK-3 dan 15 peratus dalam tempoh RMK-6.

"Sementara itu, peruntukan kesihatan hanya sekadar 1.6 peratus dan 1 peratus bagi tempoh RMK-4 dan RMK-5.

"Ini secara jelas menggambarkan bahawa kerajaan BN telah menunjukkan komitmen dan fokus luar biasa terhadap ketenteraan dan peruntukan pertahanan pada beberapa dekad lepas,
" menurut memorandum itu lagi.

Memorandum berkenaan ditandatangani oleh 26 NGO dan parti politik, antaranya Suaram, Food Not Bombs Kuala Lumpur dan Parti Sosialis Malaysia.

Turut hadir dalam perhimpunan itu ialah ADUN Kota Damansara Dr Mohd Nasir Hashim dan juga pengarah Suaram Kua Kia Soong.

Ketika bercakap kepada media, Kua berkata jumlah perbelanjaan sebanyak RM6 bilion untuk pembelian kapal peronda tentera oleh kerajaan sepatutnya boleh digunakan untuk membina 6000 buah sekolah.

"Apa yang kita perlukan ialah hospital dan bukan pesawat Hornet, sekolah dan bukannya kapal selam.

"Jika ditanya, (kerajaan) cuma akan kata (sebab) keselamatan negara," kata Kua lagi yang mendakwa, kerajaan tidak bertindak secara telus dalam memberi penjelasan berhubung perbelanjaan ketenteraan
.

Memorandum berkenaan diterima oleh setiausaha bahagian kewangan kementerian pertahanan Mohd Shahbudin Ibrahim yang menemui pemimpin aktivis berkenaan di luar kompleks kementerian tersebut.

Penyerahan memorandum berkenaan dibuat sempena hari tindakan sedunia bagi menentang perbelanjaan ketenteraan (GDAMS) yang disambut pada hari ini.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts