And when it was said that the promise of Allah was true, and that the Hour, there was no doubt about its (coming)

Thursday, April 7, 2011

'Manusia' Sebelum Adam?



evolusi.jpg
“Tapi saya rasa lecturer saya dapat yakinkan saya bahawa Teori Evolusi itu ada benarnya. Rasa resah betul masa dalam kelas”, kata Nazri, salah seorang pelajar yang mengikuti kursus bersama saya.
“Soalnya sekarang, apakah Teori Evolusi itu memang bertentangan dengan Islam? Apakah pendirian Islam terhadap Teori Darwin? 100% bertentangan atau bagaimana?”, saya bertanya kembali kepada beliau.
”Hmm, bab ni susah nak jawab”, katanya.
”Ustaz rasa, cabaran sekarang ialah, kita tidak boleh pukul rata. Kita kena bezakan di antara Charles Darwin, Darwinism, Neo-Darwinism, Social-Darwinism dan Teori Evolusi itu sendiri”, saya sekadar memberi cadangan.
Nazri mengangguk.
”Memang banyak bezanya. Tapi bila diterjemah kepada bahasa Melayu, semuanya dibakulkan jadi ’Teori Darwin’. Itu sahaja”, sambungnya.
”Itu masalahnya. Pada pandangan ustaz, sikap pukul rata penceramah-penceramah mencela Teori Darwin, akan mendatangkan masalah, khususnya kepada orang macam anta, yang ambil Biologi untuk peperiksaan A-Level. Ramai yang sangka Teori Darwin dan evolusinya…. 100% bertentangan dengan Islam”, saya meneruskan cerita.
”Hujah mereka mudah. Kalau percaya tentang Teori Darwin, maknanya kita percaya yang atuk nenek kita dulu ialah beruk! Itu sahaja”, Nazri menyokong.
Kami sama-sama termenung. Ia bukan isu yang mudah.



TEORI EVOLUSI ITU LUAS
Kefahaman kita tentang teori evolusi bukanlah terhad kepada mahu menjawab soalan siapa / apa bapa kita. Ia juga bukan sekadar untuk mencela penjajahan Barat yang disandarkan kepada kepercayaan struggle of the fittest golongan Social Darwinist.
Kebetulan di dalam kelas Muslim Historiography saya bersama Assoc. Prof. Dr. Ahmed Elyas Hussein, kami telah berbincang tentang persoalan yang lebih mendasar terhadap perlunya kepada pendirian yang betul terhadap Teori Evolusi ini, iaitu persoalan ”Permulaan Sejarah”.
Ia membabitkan pengujian kita terhadap teori evolusi biologi dalam menjawab persoalan penciptaan Adam dan kehidupan di bumi sebelum Adam.
Hal ini penting, untuk mengungkaikan keresahan kita apabila kemajuan kajian DNA, telah membantu saintis untuk menghitung kadar mutasi struktur hidupan. Kebolehan ini mengukuhkan lagi usia fosil yang ditemui dan ini mencabar kesimpulan simplistik kita terhadap ”Persoalan Sejarah” yang saya maksudkan tadi.
Setakat ini, saintis telah mengesan kira-kira 15 spesis awal manusia. Tetapi sulit untuk dikategori dan ditentukan bagaimanakah hubungan di antara spesis ini dan bagaimanakah setiap satu spesis itu berakhir. Spesis seawal Australopithecine yang dianggarkan berusia 5 ke 2 juta tahun dahulu, membawa kepada spesis Neanderthal yang dianggarkan berusia 200,000 ke 24,000 tahun yang lalu, kesemuanya ini menimbulkan persoalan berkaitan penciptaan Adam, dan pendirian Islam terhadap evolusi itu sendiri. Apakah Adam itu hidup seawal era Australopithecine atau bagaimana?
Saya mungkin tidak berkeahlian dalam membicarakan tentang hal ini, khususnya melalui saluran Biologi, namun saya ingin berkongsi dengan pembaca beberapa perkara yang boleh membantu pembaca membuat penilaian awal tentang hal ini.
PANDANGAN ISLAM TERHADAP PENCIPTAAN MANUSIA
Saya datangkan beberapa ayat al-Quran berkenaan dengan asal usul manusia:
Firman Allah SWT di dalam al-Quran:
salsalin.JPG
Dia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar (Al-Rahmaan 55: 14)
Lihat juga ayat-ayat di 22:5, 23:12, 30:20, 32:7, 37:11
Allah SWT juga menyebut:
tin.JPG
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (Al-Tin 95: 4)
Mohamed Asad dalam menafsirkan ayat ini mengatakan bahawa: Allah SWT telah menciptakan manusia di dalam bentuk yang paling sempurna dan dikurniakan kualiti-kualiti yang positif pada fizikal dan mentalnya sesuai dengan tujuan yang perlu dilaksanakan oleh makhluk yang diciptakan ini.
Lihat juga ayat-ayat di 8:2 dan 7:8
Allah SWT turut menjelaskan di dalam al-Quran bahawa seluruh manusia adalah dari keturunan Adam. Firman-Nya:
nafsinwahidah.JPG
Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. (Al-Nisaa’ 4: 1)
Dan manusia itu diciptakan Allah dengan maksud menjadikan mereka Khalifah di muka bumi:
adamkhalifah.JPG
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya” (Al-Baqarah 2: 30)
PANDANGAN ULAMA ISLAM YANG AWAL
Di dalam sejarah Islam, tumpuan kita adalah pada melihat sejauh mana umat melaksanakan peraturan Allah, sebagai mekanisma jatuh dan bangunnya tamadun. Oleh kerana tumpuannya begitu, maka kadang-kadang kita terlepas pandang kepada pandangan para ulama’ terhadap persoalan-persoalan ‘pra-sejarah’ ini.
Sebagaimana teori evolusi mempunyai akar falsafah yang melunjur hingga ke era Ancient Greek dan Roman serta agama, maka ia turut menjadi bahan ulama Islam mencari jawapan kepada persoalan pra-sejarah ini. Namun terasnya adalah bersandarkan kepada ayat-ayat al-Quran yang telah memiliki pendirian yang tersendiri mengenainya. Walaupun ulama Islam memanfaatkan sumber yang ada di sekitar mereka, tetapi prinsip-prinsip al-Quran tetap menjadi teras utama kepada mereka.
Lihat sahaja buku Akhbar al-Zaman oleh al-Mas’oudi, sebelum memperkatakan tentang Adam dan generasi selepasnya, Al-Mas’oudi meletakkan bab “Penjelasan Tentang Umur Dunia, “Penjelasan Tentang Umat-umat Sebelum Adam”, Penjelasan Tentang “Jin dan Jenis-jenis dan Qabilah Mereka”, “Penjelasan Tentang Bumi Dan Apa Yang Ada Padanya”, “Penjelasan Tentang Laut Yang Meliputi (Al-Bahr al-Muhi?) dan Perkara-perkara Ajaib yang Ada di Dalamnya” dan sebagainya.
Al-Mas’oudi menjelaskan bahawa terdapat 28 umat yang telah dicipta di muka bumi sebelum Adam. Mereka terdiri daripada flora dan fauna serta Ummah yang agak menyerupai Bani Adam. Umat ini bercampur dan berinteraksi hingga membawa kepada berkembangnya mereka kepada 120 umat.
Al-Thabari juga menyatakan di dalam Tafsirnya bahawa kesemua hidupan diciptakan sebelum penciptaan Adam.
Al-Maqdisi menjelaskan bahawa terdapat 3 Umat yang utama di dunia sebelum Adam iaitu dua daripadanya terdiri daripada kaum Jin. Manakala kaum yang ketiga adalah golongan yang berbeza dari Jin kerana mereka ini berdaging dan berdarah. Golongan ketiga ini adalah mereka yang dimaksudkan sebagai “man yufsidu feehaa wa yasfiku al-dimaa’: golongan yang membuat kerosakan dan menumpahkan darah” seperti yang diulas oleh Malaikat di dalam ayat al-Quran 2: 30.
Ulasan-ulasan al-Mas’oudi ini memperlihatkan bahawa persoalan tentang hal ehwal pra-sejarah telah pun dibahaskan oleh para Ulama’ jauh sebelum munculnya di Eropah, debat evolusi pada kurun mutakhir ini. Ulama Islam sudah menyentuh bidang ini 10 kurun sebelum ia diperkatakan di Eropah.
Persoalan ini penting di sisi ilmuan Islam, untuk membina dan menstrukturkan World History pada perspektif Islam. Mereka melihat persoalan Tuhan, manusia dan alam, sebagai subjek yang tidak boleh dipisahkan. Di atas prinsip itu, persoalan sejarah tidak sewenang-wenangnya bermula hanya dengan penciptaan Adam, tetapi era Pra-Adam turut diambil kira.
Inilah yang mengagumkan saya. Sekian lama saya terlepas pandang terhadap perhatian yang diberikan oleh Ulama’ seawal kurun ke-10M terhadap isu ini. Keprihatinan mereka menunjukkan bahawa subjek ini berharga untuk diberikan perhatian.
‘ADAM’ SEBELUM ADAM
Berkenaan dengan penciptaan Adam, majoriti ulama Islam percaya bahawa Adam dan Hawa telah dicipta dengan lengkap di Syurga. Mereka kemudiannya dihantar ke bumi selepas memakan buah yang terlarang. Keturunan mereka mengisi populasi bumi dan memulakan sejarah manusia.
Akan tetapi Allah SWT tidak menjelaskan di dalam al-Quran bagaimanakah Adam itu dicipta. Adakah dia dicipta secara berperingkat atau dengan satu proses sahaja? Sebahagian ahli Tafsir mendatangkan pandangan bahawa ketika Allah SWT mencipta Adam, tubuh Adam itu dibiarkan selama 40 tahun sebelum ditiupkan ke dalamnya roh. Di sini kita boleh melihat dengan jelas pengaruh tradisi Ancient Persian terhadap tafsiran berkenaan.
Terdapat juga sebahagian daripada ulama Islam yang menjelaskan bahawa Adam bukanlah manusia pertama yang dicipta di muka bumi. Mereka berpandangan bahawa ratusan ribu ‘Adam’ telah wujud sebelum Adam bapa kita. Setiap satu ‘Adam’ itu telah mempunyai keturunan dan kehidupannya, mereka telah musnah sepenuhnya dan digantikan dengan ‘Adam’ yang berikutnya sehinggalah tiba kepada Adam, bapa kita. Adam bapa kita, dianggap sebagai pusingan terakhir siri ‘Adam’ di muka bumi.
Ada juga ulama yang berpendapat bahawa Adam dan Hawa dicipta bukan di Syurga tetapi di muka bumi dan daripada bumi.
(Lihat al-Maqdisi: Al-Bad’ wa al-Tarikh dan Ibn al-‘Arabi: al-Futuhat al-Makkiyyah)
Ikhwan al-Safa juga ada menghuraikan tentang hal ini. Mereka menyatakan bahawa semua haiwan dicipta dari tanah liat kering dan membiak di kawasan Khatulistiwa yang tidak terganggu oleh perubahan cuaca yang ektrim. Hal ini memberi ruang kepada pembiakan. Di dalam suasana inilah Adam tercipta (takawwana). Ikhwan al-Safa juga berpendapat bahawa Adam dan Hawa hidup di peringkat pertama kehidupan mereka di bumi (Rasaa’il Ikhwan al-Safa, jilid muka surat 181, 229. Ada kemungkinan konsep ini diambil dari Bible kerana di dalam Bible, Syurga itu adalah Garden of Eden di mana Adam dan Hawa hidup dalam keadaan yang suci)

ISU LEKEH?

Mungkin isu-isu di atas dipandang remeh oleh sesetengah kita. Ia mungkin dengan mudah dilabel sebagai khurafat, mangsa Israiliyyat, dongengan dan sebagainya. Namun, perlu diingatkan bahawa bukanlah kesahihan fakta itu yang menjadi keutamaan. Saya tegaskan begini kerana sama ada ia dilihat dari tafsiran kepada teks agama, atau pun kepada pencapaian sains itu sendiri, persoalan-persoalan ini masih dibanjiri oleh hipotesis. Malah jangan lupa kepada ingatan Allah bahawa “AKU MENGETAHUI APA YANG TIDAK KAMU KETAHUI”.
Pengetahuan kita ada batas-batasnya.
Namun apa yang menjadi keutamaan kita ialah, persoalan idea berkaitan dengan evolusi biologi, dan adanya idea tentang berkemungkinan wujudnya kehidupan dan ‘adam’ lain sebelum penciptaan Adam, mempunyai ruang untuk ia dikaji oleh Muslim. Ini akan menghindarkan pelajar Sains daripada dibelenggu rasa bersalah yang tidak perlu. Semata-mata kerana menyangkakan bahawa evolusi menyalahi Islam.
Walhal, prinsip-prinsip evolusi sudah pun ada di fikiran ahli sejarah Muslim seawal kurun ke-10M. Jika ia diterima sebagai subjek yang berharga untuk dikaji oleh umat Islam, mengapa pula hari ini kita mengambil pendirian mudah bahawa ruang perbincangan mengenai hal ini sudah terkunci. Evolusi bertentangan dengan Islam, 100%!
Apa yang membimbangkan saya ialah, sikap orang agama terhadap isu-isu seperti ini akan menimbulkan masalah sebagaimana pemuka agama Kristian yang sombong, telah membiakkan manusia sains yang menjauhi agama. Soal agama mereka betul atau salah, tidak sempat untuk dibicarakan kerana sikap sombong dan simplistic minded mereka telah menyebabkan agama tidak lagi dilihat sebagai sumber kebenaran.
Manusia beralih kepada sains kerana muak dengan kelakuan orang agama yang jumud.
THE DIVINE EVOLUTION
Di Barat sendiri, sebahagian pengkaji cuba untuk mengharmonikan evolusi dengan ajaran agama. Walaupun ahli teologi dan gereja teguh dalam menolak evolusi, namun tetap ada sebahagian mereka yang menerima undang-undang dan proses alam semulajadi, tanpa menafikan proses penciptaan oleh Tuhan. Mereka mempercayai bahawa Tuhan berada ‘di sebalik’ proses evolusi di dalam kehidupan alam ini dan manusia berada di hujung proses evolusi ini.
Penjelasan sebegini disebut sebagai ‘the Divine Evolution’.
Ada juga sebahagian pemimpin di gereja yang mengiktiraf ketidak sempurnaan teks Holy Book dan menganggap teori evolusi biologi sebagai bersesuaian dengan aqidah agama Kristian.(Lihat Maurice Bucaille, What is the Origin of Man? The Answers of Science and the Holy Scripture)
Semakan dari semasa ke semasa perlu dibuat juga oleh kita umat Islam.
Muhammad Iqbal dan beberapa tokoh yang lain, menerima idea evolusi Biologi. Namun, Iqbal menjelaskan bahawa evolusi hanya membabitkan perkembangan fizikal manusia. Ia tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan dimensi non fizikal atau spiritual manusia. (Lihat Muhammad Iqbal, The Reconstruction of Religious Thought in Islam).
Isu ini akan membabitkan pendirian Islam terhadap penemuan fosil, hal-hal yang berkaitan dengan kesahihan persepsi bahawa kehidupan manusia bermula dalam keadaan yang primitif, isu banjir besar serta hal Ya’juj dan Ma’juj.
Di Amerika Syarikat, saintis genetik dan paleontologis di akhir kurun ke 20, selepas mengkaji ribuan fosil purba, menyokong teori mtEve yang mencadangkan bahawa keturunan manusia ini bermula dari satu lelaki dan satu perempuan. Penerimaan ini membuka laluan kepada mereka untuk berpihak kepada agama dan seterusnya mula mengemukakan hipotesis tentang Kapal Nuh dan Garden of Eden.
Jika umat Islam mengambil jalan mudah dengan mengatakan semua ini mengarut, maka lebih mudahlah Islam akan dianggap mengarut, apabila gagal berinteraksi dengan pencapaian sains dan teknologi genetik hari ini.
Saya bimbang dengan jumlah anggota masyarakat kita yang menarik diri dari masyarakat dan memencilkan diri kerana tertekan dengan trend perdana yang selesa dengan anggapan bahawa sains dan agama itu saling bertentangan.
Mudah-mudahan dengan perkongsian maklumat ini akan dapat membuktikan kepada pembaca, betapa ulama, ahli sains dan ahli sejarah saling memerlukan di antara satu sama lain untuk lebih memahami agama, Allah SWT, manusia dan alam sejagat.
Jangan kita mangsakan Islam dan Muslim oleh sembang simplistik yang merugikan itu.
=============================
ARTIKEL INI SAYA TULIS UNTUK MEREKA YANG SUDAH BIASA DENGAN SUBJEK-SUBJEK YANG DIBINCANGKAN. PERSPEKTIF SEJARAH DARWINISM, ILMU SAINS BIOLOGI DAN KEJURUTERAAN GENETIK DAN SERBA SEDIKIT PENDEDAHAN KEPADA ILMU SEJARAH DI KALANGAN ILMUAN ISLAM YANG AWAL. JIKA ANDA KELIRU DENGAN MANA-MANA ISTILAH, MANFAATKAN WIKIPEDIA. TERIMA KASIH.
=============================
ABU SAIF @ www.saifulislam.com



Orang Islam, Yahudi dan Nasrani percaya bahawa Adam a.s. adalah bapa mereka semua, ertinya Adam a.s. dan Siti Hawa adalah nenek moyang semua manusia yang hidup zaman berzaman. Mereka adalah 'manusia' pertama yang diturunkan ke bumi.

'Manusia' itu setakat yang saya fahami adalah makhluk berakal keturunan Adam a.s. bermula dari Adam a.s. (dalam konteks planet bumi) yang diajarkan berkata-kata, menulis dan membaca oleh Allah s.w.t. Akal yang ada pada manusia di planet bumi ini mampu memahami semua ini, dan ia digunakan untuk mengkaji serta menyelesaikan masalah dan menghasilkan teknologi. Allah telah mensyariatkan Islam kepada manusia bermula dari Adam a.s.

Sebelum saya paparkan pada anda artikel yang ditulis oleh nation_kingdom, ada baiknya saya sertakan di sini mafhum firman Allah yang menyentuh kisah kejadian Adam a.s. Saya harap anda dapat meneliti ayat-ayat ini untuk memahami mengapa nation_kingdom menulis bahawa tidak mustahil ada humanoid di bumi ini sebelum Adam a.s. 'diturunkan' dan mungkin humanoid itu suka berperang dan bertumpah darah.

Walau apa pun, saya harap anda semua dapat menerima catatan nation_kingdom sebagai 'pembuka fikiran' kita semua dan sebagai penggalak agar bijak pandai Islam mengkaji dengan lebih serius untuk memecahkan persoalan 'manusia' sebelum Adam. Namun satu perkara sudah jelas: Kita semua adalah dari keturunan Adam a.s. dan Adam a.s. bukan berasal dari beruk sebagaimana pendapat Darwin, para pengikutnya serta pendokong Neo-Darwinism. Pada pendapat saya, Adam a.s. dan keturunannya tiada pertalian darah langsung dengan 'humanoid' sebelum Adam a.s. Adam dijadikan khalifah (pemimpin atau pengganti) kepada sesiapa yang pernah menghuni dan menguasai planet bumi sebelum itu.

'Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya'. (Surah Al-Baqarah 2: Ayat 29-30).

Sebagai umat Islam, adalah menjadi rukun kepada kita untuk mempercayai bahawa moyang kita yang pertama adalah Nabi Adam A.S. dan isterinya Siti Hawa. Namun timbul keraguan kepada saya yang jahil ini; adakah benar Adam itu adalah manusia pertama yang berjalan di muka bumi ini. Persoalan ini timbul adalah berdasarkan pengamatan saya selama 9 tahun yang menjurus kepada penemuan akan beberapa klu-klu penting. Adalah ditegaskan tegaskan di sini bahawa saya sama sekali tidak menafikan bahawa salasilah sekalian manusia yang ada di dunia ini bermula daripada seorang manusia sempurna bernama Adam A.S. Selain agama Islam, ia juga adalah pegangan penganut agama Kristian dan Yahudi.

Dalam artikel ini, saya mengistilahkan manusia awal yakni sebelum Nabi Adam diturunkan ke dunia sebagai humanoid demi untuk mengelakkan sebarang kontroversi yang mungkin timbul berikutan pegangan kita sekarang bahawa tiada manusia sebelum Adam. Saya juga bukanlah ahli di dalam lapangan ketamadunan manusia; mahupun pakar kitab. Namun saya dengan sedaya-upaya cuba menyampaikan pemikiran saya melalui susunan kata-kata di dalam artikel ini supaya mudah diterima orang kerana saya percaya sudah tentu ada orang yang yang amat berminat dengan paradigma baru ini; terutama individu yang sering diburu persoalan-persoalan akan sejarah kehidupan manusia yang mengelirukan.

Sepanjang kajian dan pengamatan saya, terdapat empat klu utama yang mendorong saya untuk mempercayai bahawa terdapat humanoid-humanoid yang wujud lama sebelum Nabi Adam A.S. dan Siti Hawa diturunkan ke bumi.

Klu 1: Ketandusan Ilmu Manusia Awal

Sebagai seorang nabi sudah tentunya Allah Taala mengurniakan kapadanya ilmu yang selayaknya bagi seorang manusia untuk menjalankan tigasnya sebagai khalifah di muka bumi. Fakta ini telahpun termaktub di dalam Surah al-Baqarah, ayat 31-33 yang bermaksud;

Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman; 'Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar'. Malaikat itu menjawab; 'Maha Suci Engkau (ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana'. Allah berfirman; Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka.

Allah Taala juga telah mengurniakan api untuk kegunaan manusia melalui Adam. Riwayat menceritakan bahawa api yang ada di bumi sekarang ini hanyalah percikkan bunga api neraka yang sebesar zarah. Malaikat Jibril-lah yang telah diperintahkan untuk mengambilnya daripada malaikat Zabaniah. Oleh sebab kepanasan yang keterlaluan, api neraka sebesar zarah itu terpaksa disejukan dengan mencelupnya ke dalam 70 batang sungai di syurga dan 70 celupan di setiap batang sungai (70X70). Kemudian Jibril A.S. pun membawa api itu turun ke dunia dan diletakan di atas sebuah bukit yang tinggi. Tetapi sejurus setelah diletakan, tiba-tiba bukit itu terus meleleh cair; maka cepat-cepat jibril mengambil semula api tersebut dan dihantar semula ke neraka. Maka, hanya sisa-sisanya sahajalah yang kita gunakan pada hari ini. Konklusi, peristiwa ini jelas menerangkan kepada kita bahawa umat manusia yang pertama berada di muka bumi iaitu Adam sudah awal-awal lagi menggunakan api untuk kehidupan seharian.

Walaupun begitu, ahli sarjana arkeologi barat telah mendedahkan bahawa selama beberapa kurun, humanoid yang dianggap sebagai manusia pertama selama ini tidak tahu menggunakan api baik untuk memasak, memanaskan badan, mahupun sebagai pertahanan diri. Kehadiran humanoid ini dapat dikesan di Hadar, Ethopia; Olduvai Gorge an Laetoli, Tanzania; Timur Turkana, Kenya; dan di sekitar Afrika Timur. Tapak-tapak arkeologi ini mengandungi bukti kewujudan spesis bipedal (bejalan tegak dengan dua kaki). Mereka hanya tahu menggunakan api 3 juta tahun kemudian (1.4 juta S.M). Adalah dipercayai penemu api yang pertama ialah spesis Homo erectus di gua Zhoukoudian, China.

Gua tersebut suatu masa dahulu (sepertimana juga hari ini) bukan sahaja dihuni oleh humanoid malah burung hantu dan juga kelawar. Longgokkan najis kelawar di dalam gua yang kaya dengan potassium nitrate mungkin terbakar akibat suhu tinggi ataupun oleh percikan elektrik statik. Walaupun begitu, pendapat utama bagaimana humanoid primitif mendapat api adalah daripada kebakaran hutan akibat panahan petir. Mereka mula makan makanan yang masak apabila tiada pilihan lain selain daripada memakan haiwan yang mati terbakar dalam kebakaran, dan secara kebetulan rasanya lebih enak daripada dimakan mentah.

Klu pertama ini membuktikan bahawa humanoid-humanoid primitif ini tidak sealiran darah dengan Nabi Adam A.S. Ini adalah kerana dalam paradigma sejarah sekarang, masa yang berlalu telah menyaksikan kemajuan demi kemajuan manusia dalam bidang teknologi; dan bukannya kemunduran (walaupun terdapat kemelesetan dari segi moral mahupun ekonomi). Jika spesis humanoid primitif ini adalah berketurunan Adam, maka zaman-zaman yang telah berlalu menjadi saksi kepada kemunduran yang teruk kepada sesuatu bangsa bersasal daripada sekumpulan manusia yang berilmu dan senonoh; kemudiannya beransur-ansur berkembang kepada makhluk yang tak bertamadun, bodoh, kotor, makan haiwan mentah, dan bogel; sama seperti yang anda dapat saksikan dalam buku-buku rujukan arkeologi sekarang.

Idea utama yang ada dalam fikiran saya ialah; bumi sekali lagi telah mengalami proses penseterilan selepas yang pertama menyebabkan kepupusan spesis dinasor. Malangnya saya tidak dapat membincangkan tentang apa atau bagaimana penseterilan kedua tersebut terjadi kerana hal tersebut bukanlah dalam lingkungan pengetahuan, sebaliknya ia harus dikaji oleh pakar di dalam lapangan tersebut. Namun apa yang pasti, kesan kejadian tersebut telah menyebabkan kepupusan spesis-spesis manusia awal yang hidup pada zaman ais, zaman baru, dan zaman logam. Kesemua golongan manusia ini tidak mempunyai sistem tulisan sebuah elemen tamadun yang terpenting. Namun apa yang ada hanyalah klu-klu melalui lukisan pada dinding-dinding gua yang memberitahu sedikit-sebanyak tentang kehidupan mereka sehari-harian.

Klu 2: Kalendar Adam

Pada dasarnya, Kalendar Adam adalah setara dengan Kalendar Gregorian (Masihi) tetapi dengan offset pada permulaan. Tahun masihi diukur bermula daripada kelahiran Nabi Isa A.S. dan tahun-tahun sebelumnya disebut sebagai sebelum masihi (S.M). Kalendar Adam pula diukur bermula daripada hari peristiwa Nabi Adam A.S diturunkan ke muka bumi. Idea kalendar Adam ini telah dicetuskan oleh En. Mohd Fadhil Hassan bertujuan untuk memudahkan pengiraan detik-detik peristiwa sejarah terutama sekali yang berlaku dalam tahun-tahun sebelum masihi. Kalendar ini pernah diketengahkan dalam majalah Mastika, Januari 2006.

Kalendar Adam dihasilkan melalui pengamatan dan kajian Fadhil selama 10 tahun. Walaupun begitu, beliau menyatakan bahawa kalendar tersebut masih terbuka kepada pembetulan dan kajian yang lebih mendalam. Beberapa penemuan fakta penting yang beliau dapati ialah:

1. Nabi Adam A.S. dan Siti Hawa dikurniakan dengan ramai anak. Setetengah pendapat menyatakan ramainya adalah 120 orang, manakala ada juga yang berpendapat 80 orang. Manusia sempurna inilah yang telah mencetuskan ketamadunan manusia.
2. Nabi Ibrahim A.S. berpindah ke Mesir pada 1900 S.M. ketika berumur 40 tahun. Ini bermakna Nabi Ibrahim lahir pada tahun 1940 S.M.
3. Selang masa di antara Nabi Nuh dengan Nabi Ibrahim ialah 2140 tahun. Ini bermakna Nabi Nuh wafat pada tahun 4080 S.M.
4. Nabi Nuh dikatakan mempunyai umur yang panjang iaitu 950 tahun. Ini bermakna Nabi Nuh Lahir pada tahun 5030 S.M.
5. Selang masa antara Nabi Adam dengan Nabi Nuh adalah 2000 tahun. Ertinya Nabi Adam wafat pada 7030 S.M.
6. Nabi Adam mempunyai umur yang paling panjang, iaitu 1000 tahun. Maka Nabi adam di turunkan ke dunia pada tahun 8030 S.M. Pada detik ini juga bermulanya Kalendar Adam.

Daripada fakta-fakta di atas maka dapatlah disimpulkan bahawa sekarang (tahun 2006) adalah bersamaan dengan 10036 Tahun Adam (T.A). Alangkah mudanya ketemadunan manusia ini jika hendak dibandingkan dengan apa yang dipanggil selama ini oleh sains arkeologi sebagai permulaan manusia pertama yang wujud 4.4 juta tahun yang lalu!

Seandainya segala output daripada segala kajian yang di buat oleh En. Fadhil tepat, maka terbuktilah bahawa segala makhluk yang berbentuk seperti manusia (humanoid) yang wujud sebelum 10036 tahun yang lalu tiada pertalian darah dengan manusia selepas Adam, lalu tidak layak untuk dipanggil sebagai manusia. Namun adalah diluar pengetahuan samada spesis tersebut telah dipupuskan oleh Allah Taala secara keseluruhannya, ataupun masih wujud segelintir darinya sehingga zaman sekarang. Mungkin inilah mahkhluk misteri yang sekarang dianggap orang sebagai Big Foot yang membuatkan manusia melakukan pelbagai andaian tentangnya.

Timeline yang kedua ini telah dihasilkan oleh saintis yang berpegang kepada teori evolusi Charles Darwin manusia berasal daripada monyet. Jikalau dahulu saya memang menentang teori ini bulat-bulat kerana ia bercanggah dengan asas agama Islam. Namun sekarang saya tidak begitu mengambil peduli kerana mungkin ada benarnya pendapat itu. Rupabentuk manusia awal sebelum Adam mungkin seperti beruk yang berbulu lebat. Tak siapa tahu tentang hal ini kerana tinggalan mereka yang ada kini hanyalah tulang-temulang, jauh sekali cebisan-cebisan kulit atau rambut. Alangkah baiknya sekiranya terdapat antara humanoid-hominid ini terfosil di dalam ais (seperti yang terjadi pada gajah mammoth); maka bolehlah kita lihat bagaimana sebenar-benarnya rupa mereka.

Walaupun begitu, ternya kelas mereka lebih tinggi daripada hidup-hidupan lain yang terdapat pada zaman tersebut itu kerana mereka berupaya menghasilkan peralatan daripada batu dan melukis pada dinding-dinding gua. Anda mungkin pernah didedahkan dengan haiwan-haiwan primitif yang seperti dinasor, gajah mamonth, pepatung gergasi, nyamuk gergasi, dan burung pra-sejarah. Tetapi pernahkah anda tahu akan monyet-monyet pra-sejarah yang hidup bersama-sama manusia primitif? Nampaknya telah berlaku kesilapan sangat besar dalam sistem kategori spesis-spesis primat primitif ini. Kesemua spesis primat yang ada pada zaman sebelum Adam telah digolongkan dan dilebelkan sebagai manusia awal (tidak kira yang berakal atau tidak) bermula seja zaman ais lagi. Ini adalah kerana pengelasan spesis-spesis tersebut dilakukan oleh ahli-ahli sains yang menganuti Teori Evolusi Charles Darwin kesemua manusia dan monyet yang ada di dunia ini bermoyangkan sejenis monyet (common ancestor).

Klu 3: Tiada Ketamadunan sebelum 10000 tahun lalu.

Ketamadunan yang pertama hanya bermula kira-kira 3000 tahun selepas Adam diturunkan (menurut kalendar Adam) ke dunia apabila pertanian jagung bermula di Mexico iaitu pada 5000 S.M. Dunia seterusnya menyaksikan tumbuhnya kerajaan-kerajaan silam yang tersohor (sebelum masihi) bermula dengan kerajaan Sumeria (3400 S.M), dinasti pertama kerajaan Mesir (2350 S.M.), empayar Akkadian atau Mesopotamia (2205 S.M), dinasti Xiao di China (1600 S.M.), tamadun Minoan (1380 S.M.), Babylon (597 S.M), Republik Rom (509 S.M), dan berakhir dengan empayar Roman (27 S.M.). Selain daripada itu, banyak lagi ciptaan manusia yang mengkagumkan seperti pembinaan Tembok Besar China yang siap pada tahun 27 S.M.

Secara kesimpulannya ketamadunan manusia berkembang dengan pesat selepas 3000 tahun turunnya Adam ke dunia, dan selepas ramainya keturunan Adam di bumi ini. Inilah bukti yang kukuh bahawa peningkatan kehidupan manusia yang pesat hanya boleh dilakukan oleh manusia yang sempurna keturunan Nabi Adam dan Siti Hawa. Manusia yang terdahulu daripada Nabi Adam tidak mempunyai apa-apa teknologi selain daripada peralatan batu, tanah liat dan logam yang ringkas, sedangkan mereka sudah wujud sejak berjuta-juta tahun (tanpa sebarang pembaharuan teknologi yang nyata). Sesungguhnya mereka tidak boleh dibandingkan dengan keturunan Nabi Adam yang boleh membuat pembaharuan yang drastik dalam jangkamasa hanya 10000 tahun!

Klu 4: Keengganan Bumi

Pada suatu ketika, Allah SWT menitahkan kepada malaikat Jibril supaya turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanahnya untuk mencipta Adam, manusia pertama. Akan tetapi apabila Jibril sampai ke bumi, bumi enggan membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam, kerana bumi khuatir Adam jadi maksiat kepada Allah. Lalu Jibril kembali ke hadrat Tuhan, kerana ia tidak dapat berbuat apa-apa, setelah mendengar sumpah bumi. Seterusnya, Allah memerintah malaikat Mikail, jawapan bumi masih sama dan selepas itu Allah memerintahkan malaikat Israfil, tetapi malangnya jawapan bumi masih tidak berganjak, dan masing-masing kembali dengan tangan kosong.

Lalu yang terakhir, Allah menyuruh malaikat Izrail turun ke bumi. Firman Allah, Hai Izrail, engkaulah kini yang aku tugaskan mengambil tanah. Meskipun bumi bersumpah-sumpah dengan ucapan, bagaimanapun jangan engkau mundur. Katakan bahawa kerjakan atas perintah dan atas namaKu. Apabila Izrail turun ke bumi dan menyampaikan perintah Allah kepada bumi, maka akhirnya barulah bumi mengizinkan akan tanahnya itu diambil.

Setelah Izrail mengambil beberapa jenis tanah, kembalilah dia ke hadrat Allah.Lalu Allah berfirman; Ya Izrail, pertama engkau yang Ku-tugaskan mengambil tanah, dan kemudian di belakang hari kelak akan kutugaskan engkau mencabut roh manusia. Maka Izrail khuatir kerana bimbang dibenci oleh umat manusia kelak. Lalu Allah berfirman lagi; Tidak, mereka tidak akan memusuhi kamu, Aku yang mengaturnya, dan Aku jadikan kematian mereka itu bersebab, terbunuh, terbakar, sakit dan sebagainya.

* * * * * * * * * * * * * * *
Berikut merupakan riwayat yang menceritakan tentang proses awal penciptaan Adam; pengambilan tanah daripada bumi. Persoalan utama daripada riwayat ini adalah keenganan bumi untuk diambil tanahnya. Kebimbangan bumi bukanlah kerana takut tanahnya kurang, atau takut rupanya berlubang-lubang, tetapi bumi khuatir seandainya Adam itu menjadi maksiat kepada Allah. Tidakkah itu bermakna bumi telah menyaksikan kerosakan yang dilakukan oleh manusia terdahulu di muka bumi ini? Mengapa tiada riwayat yang menceritakan akan keengganan bumi apabila Allah S.W.T hendak menciptakan gajah, lembu, atau unta? Ini jelas menjukkan hanya spesis humanoid sebelum Adam telah melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak disukai oleh bumi.

Banyak antara kerosakan ini dapat dibuktikan di benua Autralia. Australia dianggap sebagai pusat kajian yang terpenting kerana ia dikelilingi oleh lautan dan susananya bebas dari humanoid sehinggalah 50000 tahun yang lalu. Kajian yang dijalankan di sini berupaya untuk menunjukkan perbezaan sesuatu kawasan sebelum dan selepas kehadiran humanoid.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Nicolle Rager Fuller (2005) dari National Science Foundation; Ujian isotop karbon fosil-fosil telur spesis burung yang tidak terbang di Australia mendapati humanoid telah menggunakan api secara melampau. Hal ini telah membawa perubahan yang drastik kepada ekosistem yang menyebabkan kepupusan secara besar-besaran sejumlah spesis haiwan di kepulauan tersebut 50000 tahun yang lalu tahun yang sama dengan ketibaan humanoid. Diet yang tetap selama 140000 tahun untuk spesis burung tersebut telah bertukar (terjejas apabila humanoid tiba di kepulauan tersebut.) daripada rumpai yang bernutrien (padi, gandum, atau beri) kepada sampah gurun (desert scrub).

Gangguan pada ekosistem ini juga telah menggugat kewujudan mamalia-mamalia besar di Australia, yang juga mengalami kepupusan sejurus kehadiran humanoid. Profesor Gifford Miller (2005) dari CU-Boulder's Institute of Arctic and Alpine Research menafikan kepupusan tersebut adalah kerana perubahan suasana iklim kerana kajian menunjukkan tiada bukti perubahan iklim yang nyata yang disepanjang tempoh tersebut yang boleh menyokong pendapat ini. Berikutan itu, ramai ahli sains percaya bahawa manusialah yang menyebabkan kepupusan tersebut samada melalui pemburuan melampau, penularan wabak, atau pembakaran habitat-habitat semulajadi. Kajian isotopik (ujian karbon) terhadap fosil-fosil telur burung emu dan genyornis (bersaiz seperti burung unta moden) mendedahkan bahawa ekosistem flora juga mengalami perubahan sejak ketibaan humanoid.

Selain burung, mamalia-mamalia besar juga pernah wujud seiringan dengan humanoid suatu ketika dahulu di Australia seperti gajah mammoth, mastodons, saber-toothed tiger, singa marsupial (Thylacoleo carnifex marsupial terbesar pernah wujud) dan kuda asli Amerika. Kepupusan spesis ini berlaku pada lewat zaman Pleistocene (lihat timeline). Pendapat bahawa perubahan iklim global menjadi faktor penyumbang kepupusan juga tidak boleh disangkal. Akan tetapi, perubahan iklim tidak menghapuskan spesis-spesis tersebut secara drastik tetapi dengan lebih perlahan. Kepupusan drastik hanya terjadi sejah wujudnya aktiviti pemburuan melampau oleh humanoid; yang membawa kepada kepupusan dalam jangkamasa maksimum 1500 tahun. Pemburuan secara blitzkrieg, dikatakan berupaya menumbangkan kewujudan sesuatu spesis fauna dalam jangkamasa kurang daripada 500 tahun!

Di bahagian Amerika utara pula; Woolly mammoths, giant armadillos and tiga spesies unta adalah sebahagian daripada lebih 30 mamalia yang diburu sehingga kepupusan oleh humanoid di Amerika Utara 13000-12000 tahun lampau (akhir zaman Pleistocene). Kajian ini telah dijalankan oleh John Alroy (2001, University of California) dengan menggunakan sistem ecosystem modelling yang paling sofistikated dan realistik pada ketika itu. Lebih daripada setengah jumlah spesis mamalia tewas diancam oleh humanoid-humanoid pada akhir zaman Pleistocene. Perkara ini merupakan sesuatu malapetaka yang besar dalam sejarah dunia yang mana kesemua humanoid di seantero planet ini seolah-olah bersatu hati untuk melakukan kerosakan ekosistem secara besar-besaran.

Ternyata sekali masalah kepupusan yang disebabkan oleh manusia bukanlah perkara baru di bumi ini, malah telah dilakukan oleh manusia sebelum Adam lagi. Memanglah patut bumi khuatir dan tidak enggan menyerahkan tanahnya kepada malaikat untuk dijadikan manusia. Bumi sememangnya mengetahui akan sifat-sifat manusia yang terdahulu tamak dan memusnahkan. Kekhuatiran bumi adalah cukup berasas kerana dewasa ini kita mengulangi semula kerosakan demi kerosakan yang pernah dilakukan oleh manusia terdahulu. Bukan sahaja pemusnahan spesis haiwan, bahkan lebih teruk; pembunuhan sesama manusia melalui peperangan, penggunaan senjata pemusnah besar-besaran, dan sengketa nuklear. Gejala sosial dalam masyarakat pula kian menjadi-jadi penagihan dadah, pelacuran, jenayah rogol, merompak, dan haruan makan anak telah menjadi berita-berita yang biasa dan seolah-olah tidak lagi memanaskan hati masyarakat kita pada hari ini.

* * * * * * * * * * * * * * *
Walaupun sebenarnya terdapat beberapa lagi klu, namun masih memerlukan sokongan fakta dan huraian yang lebih kukuh sebelum dapat warwarkan. Tetapi saya amat berharap supaya peristiwa yang membawa kepada kepupusan humanoid sebelum turunnya Nabi Adam A.S. ke dunia dapat di selidiki dan dibuktikan secara saintifik pada suatu ketika nanti
- Wallahualam -
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts