[SN] وقال الله تعالى : ان ربك سريع العقاب و انه, لغفور رحيم الانعام: 165
Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat seksaanNya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (akhir ayat 165 dari surah al-an’am).
Begitulah maksud sepotong firman Allah SWT di dalam al-Quran. Dalam mengungkapkan kalimat ‘azab’, Allah SWT tidak berkompromi. Sahabat-sahabat boleh meruju’ ungkapan-ungkapan ini di dalam al-Quran seperti dalam surah al-a’raf :167, an-nisa : 84, al-maidah : 2 , al-anfal : 13, al-anfal : 25, al-anfal : 48, al-anfal : 52. Hud : 20, al-Furqan : 65 dll. Banyak lagi ayat-ayat lain yang membicarakan tentang azab.
Ayat yang saya nyatakan tadi hanya sebahagian daripadanya. Kalimah ‘azab’ sahaja sudah menggerunkan kita … apatah lagi di dalam firmanNya Allah SWT menggambarkan bahawa azab itu bersifat amat keras, dasyat, hebat, sukar di tolak dan amat cepat.. Kisah yang diceritakan ini bukan rekaan bahkan ianya merupakan satu kisah benar yang terjadi berbelas -belas tahun yang lalu. Kisah kecurangan dan kederhakaan (nusyuz) seorang isteri kepada suami yang soleh …. Balasan akibat perbuatan tersebut pantas dibalas oleh Allah SWT di dunia tanpa perlu menunggu pembalasan akhirat. Ikutilah kisah ini sebagai tauladan dan I’tibar untuk manfaat bersama.
*Nama dalam watak telah ditukar… untuk pengetahuan sahabat-sahabat sekalian… HANANAN dalam bahasa Aceh bermaksud ‘tiada nama’. HANA = tiada NAN = nama.
----------------------------------------------
DALAM sebuah hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Jika seorang isteri menunaikan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga kesucian dirinya (dari perbuatan tidak senonoh) dan taat kepada suaminya, ia akan masuk syurga melalui pintu mana saja yang dikehendakinya." Memang janji Allah, setiap yang berbuat dosa, balasannya diterima di akhirat kelak. Namun ada ketikanya terdapat juga dosa-dosa besar seperti berlaku curang terhadap suami, balasan seksanya sudah Allah tunjukkan di dunia lagi agar ianya menjadi i'tibar kepada orang lain.
Perkara ini diakui dan diceritakan oleh seorang bidan kampung di selatan tanahair. Bidan tersebut telah menceritakan pengalamannya menyambut kelahiran anak yang dikatakan hasil hubungan sulit si isteri itu dengan bekas kekasihnya di luar pengetahuan suaminya. Apapun... untuk menjaga aib orang lain..... nama wanita tersebut tidak didedahkan oleh bidan tersebut.
Bidan yang tidak mahu namanya disebut telah berpengalaman berpuluh tahun mengakui tragedi yang berlaku terhadap wanita berkenaan ketika melahirkan anaknya memang agak aneh dan luar biasa.
"Makcik telah mengalami berbagai peristiwa ketika menyambut kelahiran, Ada wanita yang mudah melahirkan anak. Ada pula yang mengalami masalah susah beranak kerana bayinya berkedudukan songsang atau sebagainya.
Tetapi Alhamdulillah, sejauh pengalaman makcik, mereka yang sukar melahirkan setelah diberi air penawar dan melakukan beberapa petua tertentu, wanita berkenaan akan mudah melahir kan anaknya," kata bidan tersebut.
Wanita yang disebut sebagai Hananan ( Bukan nama sebenar ) oleh bidan berusia 30-an itu memang tidak dapat dilupakannya.
"Dia mengalami kesakitan yang luar biasa seolah-olah ada sesuatu yang menghalang kelahiran bayinya. Hampir sejam dia bergolek-golek dan meronta-ronta menahan kesakitannya sambil meraung-raung dan merintih-rintih menyebut nama suaminya.
Berbagai usaha dilakukan oleh bidan untuk membantu Hananan seperti memberi air penawar berendamkan daun sirih. Kesan-kesan untuk melahirkan sudah ada, air ketuban telah lama meleleh, namun bayinya tetap tersendat walaupun entah berapa kali Hananan mencuba menerannya.
Apa yang menyayat hati, setiap kali Hananan berusaha meneran bayinya seluruh anggota tubuhnya menggigil, dan matanya terbelalak bagaikan menyaksikan sesuatu pemandangan yang mengerikan.
Kira-kira 10 minit selepas meminum air penawar bidan, berlakulah peristiwa aneh, ngeri dan luar biasa itu. Dari saluran rahimnya meleleh tumpahan darah yang dalam beberapa saat kemudian darah itu memancut menyembur mengenai bidan itu yang sedang memeriksanya dan percikan darah itu memercik ke dinding klinik bersalin yang tidak luas itu.
"Kejadian itu memang luar biasa. Pengalaman makciklah, wanita yang mengalami tumpah darah macam mana pun tidaklah sampai darahnya memancut sebegitu rupa. Selepas kejadian itu, makcik berfirasat ada sesuatu yang tidak kena pada wanita ini.
"Makcik mengesyaki mungkin ada dosa-dosa tertentu pernah dilakukan oleh si isteri ini ter hadap suaminya. Menurut hemat makcik, selagi wanita ini tidak mengakui dosanya dan mendapatkan keampunan suaminya, selagi itulah dia tidak dapat melahirkan anaknya," kenang semula bidan itu menceritakan kepada penulis.
Seketika kemudian, bidan pun memanggil suami Hananan yang disebutnya sebagai Akhtar (bukan nama sebenar) itu masuk ke bilik bersalin menemui isterinya. Suaminya adalah seorang lelaki yang banyak melakukan amal soleh dan berstatus ustaz itu kelihatan terharu menyaksikan penderitaan yang ditanggung oleh Hananan dan bercadang membawa Hananan untuk ke Hospital bersalin di bandar yang jauhnya kira-kira 20 km dari kampung itu.
Tetapi itu adalah masa amat kritikal hagi Hananan. Jelas pada pengamatan Akhtar dan mereka yang berada di situ, Hananan kini sedang berjuang antara hidup dan mati.
Bidan pun membisikkan sesuatu ke telinga Hananan. Dan Hananan dalam keadaan tidak berupaya itu merangkul kedua tangan Akhtar dan dengan suara yang terputus-putus mengakui perbuatan terkutuknya selama ini berzina beberapa kali dengan bekas kekasihnya. Hasil perzinaan itulah kehadiran bayi yang dikandungnya sekarang.
Mendengar pengakuan isterinya, terasa gelap dunia ini dirasai oleh Akhtar. Jika tidak kerana ada rasa simpatinya terhadap wanita yang pernah berkongsi hidup dengannya lebih 10 tahun itu yang kini sedang terbaring penuh azab, mahu sahaja Akhtar lari meninggalkan tempat itu.
Namun Tuhan mahu menunjukkan kebesaranNya melembutkan hati seorang suami. Sementara Hananan yang sedang azab itu kini pasrah dengan takdir Tuhan menghukumnya dan memohon keampunan daripada suaminya.
Memang benarlah sebagaimana yang difirasatkan oleh bidan, selepas Akhtar memaaf dan mengampunkan segala dosa-dosa Hananan, Hananan pun melahirkan anaknya dengan mudah dan segera disambut oleh bidan.
Beberapa minit selepas melahirkan anaknya itu, Hananan pun menghembuskan nafas terakhirnya sementara Akhtar tetap berada disampingnya dan sempat mengajarnya mengucapkan kalimah tauhid, "Laa Ilaaha illallah" dan diikuti oleh gerak bibir Hananan ketika menghadapi nazaknya.
Menurut cerita bidan itu, kejadian tersebut berlaku kira-kira lima belas tahun lalu. Anak lelaki yang dilahirkan oleh Hananan itu kini sudah berada di tingkatan tiga dan dipelihara oleh Akhtar seperti anaknya sendiri.
Akhtar selepas peristiwa tersebut beberapa tahun kemudian telah berkahwin lain dan dikurniakan dua orang anak.
Menurut bidan, apa yang mendorong Hananan berlaku curang terhadap suaminya kerana menuduh suaminya mandul. Sementara bekas kekasihnya (difahamkan kini masih lagi hidup) mengambil kesempatan dari keadaan rumahtangga Hananan yang tidak bahagia itu kerana tidak dikurniakan anak.
"Makcik mendoakan semoga Tuhan mengampunkan dosa Hananan dan azabnya menghadapi kematian itu sebagai kifarat kepada dosanya itu. Harap kisah ini ada iktibar dan manfaatnya kepada semua," ujar bidan tersebut mengakhiri perbualannya..
No comments:
Post a Comment