Selamatkan "Mereka" wahai Umat Islam
Sedutan dari ceramah oleh Shah Kirit bin Kakulal Govindji
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang di rahmati Allah, Assalamu’alaikum warohmatulahi wabarokatuh.
Topik kita pada malam ini adalah “ Kewajipan Berda’wah”,
InsyaAllah. Terlebih dahulu izinkan saya memperkenalkan diri secara
ringkas. Nama saya ialah Shah Kirit bin Kakulal Govindji. Pelik bukan?
Kebiasaan di Malaysia, apabila seseorang itu masuk Islam, dia
dikehendaki menukar nama bapa dia kepada Abdullah. Sebenarnya tidak ada
satu pun nas dari Al-Qur’an mahupun Hadith Shahih yang mewajibkan
seseorang yang masuk Islam mesti tukar nama bapa dia kepada Abdullah.
Shah Kirit bin Kakulal Govindji
Saya telah dilahirkan sebagai
seorang Islam tetapi ibu bapa saya telah membesarkan saya sebagai
seorang Hindu. Tuan-tuan dan puan-puan mesti hairankan. Ini adalah
kerana didalam Islam kita percaya bahawa setiap kanak-kanak di dunia ini
dilahirkan dalam fitrah Islam tetapi ibubapalah yang mencorakkan mereka
menjadi Nasrani, Yahudi, Majusi, Hindu, Buddha mahupun sebagai seorang
‘Free Thinker’. Justeru itu saya lebih suka menggunakan perkataan
‘Revert’ daripada ‘Convert’ apabila seseorang itu menganuti agama Islam
kerana mereka kembali kepada fitrah kejadian mereka.
Masuk Islam kerana syarat untuk berkahwin
Punca awal saya masuk Islam
adalah atas dasar perkahwinan. Ya, kerana saya mahu berkahwin dengan
perempuan Islam. Saya cakap ‘direct’ kerana di kalangan masyarakat kita
ada sejenis ‘penyakit’, termasuklah dikalangan kakitangan Jabatan Agama
Islam. Apabila sesorang itu menyampaikan hasrat untuk memeluk agama
Islam, dia akan diperli atau disindir seperti “kenapa mau masuk Islam?
Kalau tak ada perempuan Melayu memang tak sah!” Salah kah kami masuk
Islam kerana mahu berkahwin? Sebenarnya masuk Islam kerana mahu
berkahwin tidak salah. Mungkin itu Qada’ dan Qadar, bersabit dengan
perkahwinan seseorang itu mendapat hidayah dari Allah. Yang salah ialah sudah masuk Islam tidak mahu belajar dan tidak mahu beramal dengan Islam. Yang turut salah ialah masyarakat Islam setempat yang tidak mahu membimbing atau membantu orang yang baru masuk Islam.
Kalau kita perhati keadaan
sekeliling, kita akan dapati ramai yang masuk Islam adalah kerana
perkahwinan. Ini adalah kerana orang-orang Islam di Malaysia
hampir-hampir tidak ada melakukan da’wah kepada orang-orang bukan Islam
sekeliling mereka. Dahlah tak buat kerja, nak sindir orang pula!
Alhamdulillah, hari ini kita sebagai orang-orang Islam sedar bahawa Islam bukanlah milik orang-orang Arab atau Melayu sahaja
tetapi adalah untuk seluruh umat manusia. Malangnya kita umat Islam
hari ini telah lalai dari tanggung-jawab yang diamanahkan Allah kepada
kita untuk menyampai da’wah Islam kepada mereka yang belum terima
Hidayah lagi. Allah swt mencela golongan seperti ini dalam Surah Al-Baqarah 2:140
“Dan
siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan
(saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya? Dan (ingatlah),
Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan”.
Na’uzubillah, janganlah kita termasuk dalam golongan ini.
Allah swt memberikan penghormatan kepada kita orang-orang Islam didalam surah Ali Imran 3:110
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi(faedah) umat manusia”.
Kita pun rasa sangat seronok
mendengarkan ayat ini. Namun begitu kita lupa bahawa setiap penghormatan
itu datang bersama tanggung-jawab. Lagi besar suatu penghormatan maka
lagi beratlah tanggung-jawab yang harus dipikul. Tanggung-jawab yang
diamanahkan oleh Allah kepada kita orang-orang Islam yang melayakkan
kita di gelar ‘sebaik-baik umat’ juga disebut dalam ayat yang sama;
“(Kerana) kamu menyuruh membuat segala perkara yang baik dan melarang
daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula
beriman kepada Allah”. Ini bermakna kita harus menjadi masyarakat ‘amar
maaruf nahi munkar’ iaitu melakukan da’wah kepada orang-orang bukan
Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam secara serentak.
Allah swt mengatakan didalam surah Al-Ikhlas 103:1-3
“Demi
masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang
beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan
kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar”.
‘Berpesan-pesan dengan
kebenaran’ bermakna melakukan ‘amal maaruf nahi munkar’ yakni melakukan
da’wah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama
orang-orang Islam. Ayat ini jelas menunjukkan tanggung-jawab melakukan
da’wah bukan tugas ustaz, imam atau Jabatan Agama sahaja tetapi adalah
tanggung-jawab setiap orang Islam.
Didalam Khutbah terakhir, Rasulullah saw telah bertanya kepada para sahabah yang tidak kurang dari 110,000 orang
“Adakah
aku telah sampaikan pesanan Islam” dan para sahabah pun secara serentak
menjawab “Ya Rasulullah! Kau telah sampaikan”. Maka Rasulullah saw
seterusnya memerintahkan mereka “Siapa-siapa yang hadir disini,
sampaikanlah kepada mereka yang tidak hadir”.
Para sahabat pun faham akan
perintah Rasulullah saw lalu keluar dari negeri Arab menyampaikan da’wah
Islamiah. Maka Islam telah pun sampai ke Negeri Cina, India, Sepanyol
dan seterusnya ke Malaysia. Alhamdulillah, sahabat-sahabat dulu tidak
ada sikap macam kita iaitu hanya mahu bercerita tentang Islam sekiranya
ada yang bertanya tetapi sebaliknya telah bertebaran kepelbagai pelusuk
dunia dalam menyampaikan syiar Islam.
Penyebaran Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.
Didalam Shahih Bukhari jilid 4 hadith 667 diriwayatkan dari Abdullah Ibn Amr bahawa Rasulullah saw telah bersabda “sampaikanlah walau satu ayat”.
Kita tidak perlu dapatkan Phd atau ijazah atau menjadi ustaz / ustazah
dalam menyampaikan da’wah Islam. Walaupun kita tahu satu ayat dalam
Qur’an, kita boleh menyampaikannya. Sebagai orang Islam, kita tahu lebih
dari satu ayat. Sekurang-kurangnya kita tahu ‘La ilaha ilallah’, maka
sampaikanlah ia.
Dewasa ini dunia kita sudah
berubah menjadi materialistik. Setiap perkara yang dilakukan mesti ada
ganjaran atau keuntungan. Allah swt mengajak kita berniaga denganNya
dalam Surah As-Saff 61:10-11
“Wahai
orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang
boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang
membela dan menegakkan agama Allah dengan hartabenda dan diri kamu”.
Kini bila berniaga kita hendak tahu peratusan keuntungannya. Keuntungan yang dijanjikan oleh Allah swt dalam Surah Al-Baqarah 2:261 adalah
“Bandingan
(derma) orang-orang yang belanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah
sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai;
tiap-tiap tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah
akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya”.
Yakni
setiap satu biji benih tumbuh menjadi tujuh ratus biji benih. Didalam
bahasa perniagaan, ini adalah keuntungan yang tidak kurang dari 70,000%!
Mana ada perniagaan lain didunia ini yang menjamin 100% pulangan
keuntungan sehingga 70,000%?
‘Master key’ untuk melakukan da’wah kepada orang-orang bukan Islam ada diterangkan dalam Surah Ali Imram 3:64
“Katakanlah
(wahai Muhammad): ‘Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang
bersamaan antara kami dan kamu, iaitu kita semua tidak sembah melainkan
Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya suatu jua pun; dan jangan pula
sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk
dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari
Allah’.”
Untuk mencari kalimah-kalimah
yang bersamaan antara kita dengan mereka, maka kita hendaklah mengkaji
kitab mereka (bukan untuk beriman tetapi) untuk mencari ayat-ayat yang
menjurus kepada tauhid. Sekiranya diperingkat permulaan kita hanya
menggunakan Al-Qur’an dan Hadith sahaja mungkin orang-orang bukan Islam
ini tidak percaya atau tidak yakin kerana mereka belum beriman kepada
Al-Qur’an. Sekiaranya kita menggunakan Bible maka orang-orang Kristian
terpaksa menerimanya. Berikut adalah beberapa hujah-hujah yang boleh
kita gunakan dari Bible terhadap orang-orang Kristian:
“My Father is greater than I” [John 14:28]
“My father is greater than all” [John 10:29]
“…I cast out devil by the spirit of God…” [Matthew 12:28]
“…I with the finger of God cast out devils…” [Luke 11:20]
“I
can of mine own self do nothing: as I hear, I judge: and my judgment is
just; because I seek not my own will, but the will of the Father which
hath sent me.” [John 5:30]
“…and the word which ye hear is not mine, but the Father’s which sent me.” [John 14:24]
“Shama Israelu Adonai Ila Hayno Adonai Ikhad.” “Hear, O Israel; The Lord our God is one Lord.” [Mark 12:29]
Apabila kita mulakan da’wah
kepada orang-orang Hindu, adalah lebih baik sekiranya kita mulakan
dengan konsep ketuhanan dalam Islam yang terdapat dalam Surah Al-Ikhlas 112”1-4
“Katakanlah
(wahai Muhammad): ‘(Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa; Allah yang
menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada
beranak, dan Ia pula tiada diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang
setara denganNya’.”
Seterusnya kita boleh bincangkan
mengenai ayat-ayat yang ada persamaan didalam kitab-kitab mereka
contohnya Veda, Upanishad, Purana, Maha Bharata, Ramayana dan yang
paling popular dikalangan orang-orang Hindu adalah Bhagavad Geeta. Berikut adalah beberapa contoh yang boleh kita gunakan:
“
Those whose intelligence has been stolen by material desires surrender
unto demigods and follow the particular rules and regulations of worship
according to their own natures.” [Bhagavad Gita 7:20]
“He is One only without a second” [Chandogya Upanishad 6:2:1] 1
“Of Him there are neither parents nor lord.” [Svetasvatara Upanishad 6:9] 2
“There is no likeness of Him” [Svetasvatara Upanishad 4:19] 3
“His form is not to be seen, no one sees Him with the eye.”
[Svetasvatara Upanishad 4:20] 4
“There is no image of Him” [Yajurveda 32:3] 5
“He is bodiless and pure” [Yajurveda 40:8] 6
“They
enter darkness, those who worship the natural elements” (Air, water,
fire, etc.). “They sink deeper in darkness, those who worship sambhuti
(created things; table, chair, idol etc.).” [Yajurveda 40:9] 7
Brahma Sutra of Hinduism:
“There is only one God, not the second; Not at all, not at all, not in the least bit”.
Namun begitu dalam kita
menyampaikan da’wah kepada orang-orang bukan Islam, adalah penting kita
sentiasa mengambil kira nasihat yang diberikan oleh Allah swt didalam
Surah An-Nahl 16:125
“Serulah
kejalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan
nasihat pengajaran yang baik, berbahaslah dengan mereka (yang engkau
serukan itu) dengan cara yang lebih baik”.
Adakah kita menggunakan hikmat
kebijaksanaan dan menasihatkan dengan cara pengajaran yang baik dan
lemah lembut bila menyampaikan da’wah Islamiah kepada orang-orang bukan
Islam? Jarang sekali. Kebiasaannya bila ada orang bertanya mengenai
Islam, jawaban yang lazim diberikan adalah; “Dalam Islam kita mesti
sembahyang 5 kali sehari, Bulan Ramadhan mesti puasa satu bulan dari
pagi sampai senja – tidak boleh makan atau minum, mesti bayar zakat,
tidak boleh makan ‘kerbau pendek’ (khinzir), tidak boleh minum (arak),
mesti kena ‘potong’ dulu (berkhatan), pergi masjid mesti pakai songkok
dan kain, kalau pergi solat Hari Raya mesti pakai baju Melayu
(seolah-olah solat itu tidak sah tanpa memakai baju Melayu!) dan
bermacam-macam lagi.
Saya perhatikan bahawa kita
sebenarnya lebih banyak ‘meMelayukan’ seseorang yang masuk Islam dari
mengIslamkannnya. Kita memberikan gambaran seolah-olah Islam ini adalah
satu agama yang sangat menyusahkan umatnya.
Sepatutnya kita jangan terlalu
menekankan berkenaan fikah (halal dan haram) pada peringkat permulaan.
Yang harus diutamakan adalah tauhid, apabila iman dia sudah mantap
barulah kita sampaikan bab fikah secara beransur-ansur ikut kemampuan
seseorang individu. Bila iman sudah kukuh dihati, seseorang itu akan
mengerjakan perintah Allah tanpa perlu disuruh, InsyaAllah.
Saya ingin mengajak semua yang
hadir disini termasuklah diri saya agar marilah kita semua bangun.
Bukannya bangun dari tempat duduk tetapi marilah kita bangun tidur kita.
Kita telah lama tidur dengan mata celik. Marilah kita bangun dan
laksanakan tanggung-jawab yang telah diamanahkan oleh Allah kepada kita
untuk menyampaikan da’wah kepada orang-orang bukan Islam sambil
melakukan Islah kepada sesama Islam.
Berhenti dari memberikan alasan.
Bila saya mengajak orang untuk berda’wah, mereka selalu memberikan
alasan dan minta tunggu. Hendak tunggu apa lagi? Allah swt memberika
amaran kepada kita dalam Surah At-Taubah 9:24
“Katakanlah
(wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan saudara-saudara kamu, dan
isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta
benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan
merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika
semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada
Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka
tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya);
kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-oramg yang fasik
(derhaka)”.
Hari ini kita orang-orang Islam masih lagi tunggu!
Marilah kita berhenti dari memberikan alasan-alasan seperti berikut:
a) Tunggulah saya pandai –
sampai bila-bila pun kita tidak akan cukup pandai sekiranya kita tidak
cuba dari sekarang. Sekali lagi saya rujuk kepada hadith diatas iaitu;
“Sampaikanlah walau satu ayat”.
b) Tunggu bila ada orang bertanya baru nak cerita tentang Islam
– sekali lagi saya rujuk kepada petikan dari Khutbah terakhir
Rasulullah saw; “Siapa-siapa yang hadir disini sampaikanlah kepada yang
tidak hadir”.
c) Negara kita negara majmuk, sensitif untuk melakukan da’wah
– di zaman Nabi Muhammad s.a.w. terdapat tidak kurang dari 360 suku
kaum. Ini tidak menghalang baginda dari memberikan da’wah kepada kaum
Musyirikin pada masa itu malahan baginda telah berjaya menyatu padukan
semua kaum tersebut dibawah panji Islam!
d) Agama ini urusan peribadi,
jangan masuk campur dalam hal orang lain – Dalam Islam ia menjadi
tanggung-jawab semua orang-orang Islam mencampuri urusan orang lain
apabila ia melibatkan perkara akidah; ‘amal maaruf nahi mungkar’.
Saya akhiri dengan sketsa
berikut; bayangkanlah suatu hujung minggu kita pergi berkelah bersama
keluarga ke pusat peranginan di tanah tinggi seperti di Genting Highland
(tanpa singgah di kasino). Bila sampai ke puncak yang paling tinggi,
kita pun menghamparkan tikar dan mula menjamu selera bersama-sama dengan
keluarga. Dalam kelekaan kita makan dan minum, anak kita yang berumur 2
tahun telah berlari-lari sampai ke hujung tebing; dihadapannya adalah
jurang yang cukup dalam. Na’uzubillah, cuba bayangkan anak atau adik
kita yang berumur 2 tahun berada dalam situasi itu. Cemas tak?
Betul-betul sebelah anak kita ada seorang lelaki dewasa yang sihat dan
waras. Apa yang perlu dilakukannya adalah hulurkan tangan dia dan pegang
anak kita, InsyaAllah anak kita akan selamat. Tetapi lelaki tadi tidak
endahkan anak kita dan anak kita melangkah lagi lalu jatuh kedalam gaung
dan mati. Ketika itu adakah kita akan ucapkan terima-kasih kepada
lelaki itu kerana tidak masuk campur dalam urusan orang lain? Tidak,
kita akan salahkan dia kerana tidak mahu menolong anak kita. Kita akan
tuduh lelaki itu sebagai seorang yang sangat kejam.
Tuan-tuan dan puan-puan,
sebenarnya kitalah orang-orang Islam yang memegang watak lelaki yang
kejam tadi. Kita ada ramai kenalan bukan Islam seperti rakan kerja,
kawan jiran dan sebagainya tetapi kita tak pernah buka mulut kita
menyampaikan mesej Islam. Kita biarkan sahaja mereka mati dalam keadaaan
kafir. Di akhirat nanti mereka akan mengadu kepada Allah dan menarik
kita sama-sama masuk ke neraka, na’uzubillah. Apakah alasan yang akan
kita berikan pada Allah ketika itu? Marilah kita sama-sama bangun dan
sampaikan da’wah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah
sesama orang-orang Islam.
very nice writing,,,come and wake up all Muslem
ReplyDelete