And when it was said that the promise of Allah was true, and that the Hour, there was no doubt about its (coming)

Thursday, September 8, 2011

Berhutang Tanpa Keperluan Suatu Ancaman Kehidupan Dunia Dan Akhirat



Kehidupan yang serba bergaya melanda masyarakat pada masa kini telah membentuk suatu budaya baru yang negatif iaitu budaya berhutang tanpa keperluan. Bergaya dari sudut perhiasan dan cara berpakaian yang melampau tanpa keperluan atas alasan mengikuti perubahan zaman. Bergaya dengan memiliki tempat penginapan yang serba mewah tanpa memikirkan kemampuan membuat pembiayaan. Memandu kereta mewah yang serba canggih tanpa mengira keseimbangan pendapatan dan perbelanjaan bulanan.
Akibatnya, menjelang awal bulan, ramai yang mula mengerut muka memikirkan bagaimana untuk memastikan dapur terus berasap dan perut diisi. Menjelang hari gaji pada akhir bulan, semua segera berpusu-pusu berbaris di bank untuk menerima gaji dan melunaskan hutang.
Menghadapi keadaan sebegini, pihak pembiaya kewangan pula menawarkan pelbagai pakej ‘hutang’ dengan alasan bagi membantu ‘menyelesaikan’ masalah hutang bertimbun yang telah dibuat tanpa perancangan juga akibat nafsu memiliki sesuatu yang tidak perlu.
Dalam hal ini ‘nasihat’ yang selalu diberi oleh para ‘penasihat kewangan’ ialah dengan jalan ‘korek lubang tutup lubang’. Nasihat ini biasanya berakhir dengan tragedi tertimbus dalam semua lubang hutang yang telah digali tanpa disedari. Laporan pelbagai akhbar suatu masa dulu tentang beban hutang kad kredit yang dialami oleh ramai eksekutif muda adalah bukti menjalarnya budaya negatif di kalangan generasi baru di Malaysia. Cerita kekejaman ‘Along’ peminjam wang yang mengenakan bunga riba yang amat tinggi hingga kini masih menjadi masalah yang berakar umbi dalam masyarakat. Isu para peminjam wang dari institusi kewangan yang diisytiharkan bangkrap atau para penjamin yang diheret sama masih menjadi isu yang sering muncul di dada akhbar tanah air. Demikian juga dengan isu hutang pinjaman pelajaran kerajaan yang tidak dilunas oleh para pelajar yang telah bekerja juga menjadi beban kepada kerajaan. Sedangkan mereka yang berhutang ini sanggup berhutang besar untuk memiliki kereta mewah dengan jalan berhutang yang lebih berisiko. Hal ini semua menunjukkan kurangnya kefahaman terhadap keperluan merancang perbelanjaan dan menilai keperluan untuk berhutang

Bersederhana Dalam Hidup dan Berekonomi Dalam Perbelanjaan

Islam memerintahkan manusia agar mengambil sikap sederhana dalam hidup. Sederhana dalam erti kata memenuhi segala keperluan asasi dan tidak berlebihan dalam perkara bukan asasi seperti perhiasan dan trend gaya hidup. Motto kehidupan yang digariskan oleh al-Quran ialah sebagaimana maksud firman Allah dalam ayat 141 Surah al-An’am: “Dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.”
Manakala falsafah berbelanja yang mesti dipegang ialah maksud firman Allah dalam ayat 26-27 Surah al-Isra’: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan”.
Inilah gaya hidup Masyarakat Hadhari yang mesti wujud di kalangan umat Islam. Ini adalah perintah Allah SWT. Sewaktu al-Quran memerintahkan kita berbelanja, al-Quran menyuruh kita berbelanja sebahagian daripada apa yang Allah SWT telah kurniakan sebagai rezeki, bukan berbelanja kesemuanya. Apatah lagi untuk berbelanja melalui hutang! Orang yang berbelanja sebahagian daripada hasil rezekinya amat jarang menjadi fakir (serba tidak cukup makan). Sifat bersederhana ini menjadikan seseorang itu tidak perlu untuk berhutang.

Nabi Muhammad SAW tidak suka seorang Muslim yang berhutang. Hutang bagi seorang yang bermaruah adalah umpama ‘pengganggu tidur malam dan punca kehinaan pada waktu siang’. Bahkan Nabi Muhammad SAW sering berdoa memohon agar Allah SWT melindungi baginda daripada tabiat buruk ini. Inilah cara baginda mendidik umatnya. Baginda berdoa yang maksudnya: “Ya Allah, aku mohon perlindungan-Mu daripada kekufuran dan hutang. Sahabat bertanya: Apakah kekufuran itu menyamai hutang wahai Rasulullah? Jawab Baginda: Ya”.
Ya, hutang boleh menjerumus kepada kekufuran dan kehidupan, walaupun kufur di sini bukan bererti kufur akidah. Oleh itu baginda mengajar umatnya untuk sering berdoa sebagai ingatan dan pengawalan untuk diri pada setiap hari. Baginda juga sering berdoa dalam solatnya yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku mohon perlindungan-Mu daripada dosa dan tekanan hutang. Sahabat bertanya: Sesungguhnya kamu sering memohon perlindungan daripada tekanan hutang wahai Rasulullah. Jawab baginda: Sesungguhnya seseorang itu bila ditekan oleh hutang, dia akan sering bercakap tetapi berbohong dan sering berjanji tetapi memungkiri janji”.
Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahawa tabiat berhutang akan merubah akhlak manusia akibat tekanan daripada masalah berkenaan. Dikatakan bahawa Nabi Muhammad SAW juga enggan menyembahyangkan jenazah orang yang diketahui mati dalam keadaan berhutang yang tidak mahu dijelaskan. Ini adalah sebagai ancaman kepada umatnya agar jangan terjatuh dalam perangai yang buruk ini. Bahkan baginda memberikan gambaran besarnya beban hutang dalam sabda baginda yang bermaksud: “Dosa orang yang mati syahid semuanya akan diampun kecuali hutangnya”.
Darjat syahid adalah amat tinggi dan besar hingga para syuhada’ itu diberi keutamaan atau prioriti bagi menikmati syurga. Tetapi akibat hutang, kedudukan nikmat itu boleh terganggu.
Bila Boleh Berhutang?
Dalam hal ini, seorang Muslim hanya perlu memilih jalan untuk berhutang apabila ada hajat keperluan yang amat mendesak. Dalam pada itupun, apabila jalan hutang telah dipilih, dia tidak boleh mengenepikan sama sekali niat untuk membayar hutang berkenaan. Nabi Muhammad SAW telah memberikan garis panduan yang jelas serta amaran keras bagi mereka yang memilih untuk berhutang dalam keadaan terdesak. Baginda bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang berhutang harta manusia dengan niat hendak membayarnya semula, nescaya Allah akan membayar untuknya, dan sesiapa yang mengambil hutang itu dengan niat hendak memusnahkannya (tidak mahu membayar) nescaya Allah akan memusnahkannya”.

Dosa Hutang Riba Akibat Darurat

Hutang yang Nabi SAW benarkan iaitu dalam keadaan terdesak tadi hanyalah hutang yang dilakukan tanpa riba. Ini adalah hutang dalam keadaan darurat dan akibat tekanan keperluan. Persoalannya, fenomena kini ramai yang berhutang melalui skim riba. Lebih menyedihkan hutang berkenaan adalah lebih banyak dalam bentuk hutang yang tidak perlu dan bukan darurat.
Hukum dan dosa riba adalah amat berat menurut pandangan Islam. Islam melaknat semua pihak yang terlibat dalam transaksi ini. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Allah melaknat pemakan riba, wakilnya, dua orang saksinya dan penulisnya”. (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Turmuzi dan disahihkannya, al-Nasaie dan Ibnu Majah).
Walaupun demikian, bagi mereka yang terdesak berhutang kerana darurat yang mendesak dan terpaksa serta tiada alternatif atau pilihan lain kecuali pinjaman atau hutang dengan riba, Professor Dr Yusuf al-Qardhawi dalam fatwanya di laman web islam-online.net bertarikh 24 April 2005 menyatakan bahawa yang menanggung dosa transaksi riba dalam hal ini hanyalah pihak yang menerima atau mengambil riba itu sahaja dengan 4 syarat iaitu:
i. Wujud darurat hakiki, bukannya sekadar untuk bermewah dalam keperluan atau perhiasan. Darurat bererti keperluan asasi di mana jika ia tidak diperolehi mengakibatkan kemusnahan seperti makanan asasi, dan perubatan yang mesti dilakukan.
ii. Kebenaran ini hanya pada kadar memenuhi hajat sahaja.
iii. Hendaklah berusaha sepenuhnya untuk keluar dari kemelut kewangan ini dan saudara seislam yang lain hendaklah membantunya. Jika tiada barulah dibenarkan dalam batasan keperluan sahaja.
iv. Dia melakukannya dalam keadaan terpaksa, marah dan benci hinggalah Allah SWT memberikannya jalan keluar.
Jelasnya, hanya dalam keadaan ini ada keampunan Allah SWT dan Allah SWT pasti akan memudahkan jalan pelunasan hutang itu nanti jika niatnya adalah benar. Oleh itu, Islam awal-awal lagi telah mengajar umatnya agar tidak menyusahkan diri dengan hutang kerana dibimbangi mati dalam keadaan masih berhutang. Islam juga melarang pembaziran dalam perkara-perkara mewah walaupun menggunakan wang milik sendiri. Bahkan larangan adalah lebih keras dengan cara berhutang. Kalau terpaksa juga dan hanya ada jalan hutang riba, maka dosa hanya bagi pemakan riba dengan syarat hutang bagi perkara yang perlu sahaja dalam lingkungan darurat. Ukuran darurat adalah amat jelas, tepuk dada tanya iman! Jika perlukan hutang RM10 maka haram jika berhutang RM11! Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts