Perkataan otak boleh diterjemah daripada kalimat al-Qur'an, qalb, walaupun kalimat itu lazimnya bermakna hati. Sebagai contoh ialah sebuah ayat berbunyi:
"... mereka mempunyai hati, tetapi tidak memahami dengannya; mereka mempunyai mata, tetapi tidak melihat dengannya; mereka mempunyai telinga, tetapi tidak mendengar dengannya" (7:179).
Di situ, hati (qalb) berfungsi sebagai organ untuk memahami. Walhal, dalam bahasa Melayu, hati adalah tempat perasaan, sementara tempat atau organ untuk memahami ialah otak. Lalu diandaikan hati di situ bermaksud otak.
Justeru, Allah menyuruh supaya menggunakan otak dalam hal agama. Kalau tidak, manusia akan menjadi lebih sesat daripada binatang ternak, dan akan tinggal di dalam Jahanam (neraka). Firman-Nya:
"Kami menciptakan untuk Jahanam banyak jin dan manusia; mereka mempunyai hati (otak), tetapi tidak memahami dengannya; mereka mempunyai mata, tetapi tidak melihat dengannya; mereka mempunyai telinga, tetapi tidak mendengar dengannya. Mereka adalah seperti binatang ternak; tidak, tetapi mereka lebih jauh sesat" (7:179).
Jahanam adalah tempat tinggal yang kekal (23:103) bagi mereka yang sesat, menurut ayat tadi. Sesat, dalam agama Allah, disebabkan oleh sikap negatif terhadap ayat-ayat-Nya. Dengan itu, orang-orang yang tidak menggunakan otak, mata dan telinga ke atas ayat-ayat Allah berada dalam keadaan lebih jauh sesat daripada binatang ternak.
Terdapat pula orang-orang yang tidak memahami (al-Qur'an), bukan kerana tidak menggunakan otak, tetapi kerana otak mereka ditudungi oleh Allah. Itu ialah kerana mereka tidak suka apabila Allah disebut satu-satunya. Mereka lebih suka atau gembira apabila yang selain daripada Allah disebut, seperti Imam-Imam atau manusia lain. Telinga mereka juga disumbat oleh Allah. Lantaran, mereka tidak dapat mendengar al-Qur'an lalu tidak memahaminya.
Ayat-ayat Allah yang menjelaskan keadaan tersebut berbunyi,
"Dan Kami meletakkan penudung pada hati (otak) mereka supaya mereka tidak memahaminya, dan di dalam telinga mereka sumbatan. Dan apabila kamu mengingatkan (menyebut) Pemelihara kamu satu-satunya di dalam al-Qur'an, mereka berpaling ke belakang mereka dalam pelarian" (17:46), dan"Apabila Allah diingatkan (disebut) satu-satunya, maka meluatlah hati orang-orang yang tidak mempercayai akhirat, tetapi apabila orang-orang selain daripada Dia disebut, tiba-tiba mereka bergembira" (39:45).
Orang-orang yang meluat hati apabila Allah disebut satu-satunya, namun gembira apabila mereka yang selain daripada Dia disebut, disifatkan sebagai tidak mempercayai akhirat, walaupun mereka berkata mereka percaya. Malah, akhirat yang mereka tahu dan percaya, yang diajar oleh ulama palsu, adalah berbeza daripada akhirat sebenar yang diajar di dalam al-Qur'an.
Selain daripada qalb, kalimat 'aqala juga berkaitan. Bunyinya serupa dengan perkataan Melayu akal. Akal atau fikiran adalah penggerak untuk memahami sesuatu. Maka orang yang tidak menggunakan akal adalah yang tidak memahami.
Bacaan tidak menterjemahkan 'aqala kepada akal atau fikiran kerana sukar menyeragamkannya pada semua ayat yang mengandungi kalimat tersebut. Ia menterjemahkan kalimat itu kepada faham atau memahami. Sila rujuk Kalimat faham di dalam al-Qur'an selepas ini.
Orang-orang yang tidak menggunakan kurniaan Allah itu adalah mereka yang tidak memahami, khususnya tidak memahami ayat-ayat Allah. Lihat bagaimana Allah membuat persamaan bagi mereka:
"Sesungguhnya seburuk-buruk haiwan pada pandangan Allah ialah orang-orang yang pekak, dan bisu, dan tidak memahami (tidak menggunakan akal)" (8:22)."Atau, kamu menyangka bahawa kebanyakan daripada mereka mendengar atau memahami? Mereka, tidak lain, adalah seperti binatang ternak; tidak, mereka lebih jauh sesat daripada jalan" (25:44).
Allah menyatakan bahawa kebanyakan orang tidak menggunakan akal dalam agama lalu menjadi lebih sesat daripada binatang ternak. Ini mungkin disebabkan oleh ajaran ulama palsu yang melarang menggunakan akal dalam agama.
Oleh yang demikian, terdapatlah ajaran-ajaran mereka yang tidak diterima akal. Contoh, menyimpan janggut dapat pahala. Tentu ini tidak diterima akal kerana tidak adil, khususnya terhadap kaum wanita yang selama-lamanya tidak akan dapat pahala janggut.
Orang-orang yang tidak menggunakan akal, atau yang tidak memahami, diletakkan kotoran ke atas mereka. Mereka menjadi kotor atau tidak bersih dan suci. Firman-Nya:
"Tiadalah bagi sesuatu jiwa untuk mempercayai, melainkan dengan izin Allah, dan Dia meletakkan kotoran ke atas orang-orang yang tidak memahami (tidak menggunakan akal)" (10:100).
Di dalam kategori kotor yang sama adalah benda-benda dan orang-orang yang berikut:
- arak, dan judi, dan berhala-berhala, dan ramalan anak-anak panah - 5:90,
- orang-orang yang tidak mempercayai - 6:125, 9:125,
- bangkai, darah yang tercurah, dan daging babi - 6:145, dan
- yang enggan berperang bersama Nabi - 9:95
Yang menjadi kotor bagi manusia bukanlah kulit dan apa-apa yang tumbuh padanya, atau yang menyelubunginya, tetapi apa yang di dalam kepala dan dada mereka. Begitulah sebaliknya, bagi yang suci, iaitu bukan apa-apa yang tumbuh atau yang menyelubungi kulit, tetapi apa yang di dalam kepala dan dada.
Mereka dijadikan kotor kerana tidak mempercayai ayat-ayat Allah (10:100 tadi). Tidak mungkin mereka akan percaya kalau mereka tidak memahami atau tidak menggunakan akal terhadap ayat-ayat Allah. Sedangkan al-Qur'an itu diturunkan supaya ia difahami. Firman-Nya:
"Kami menurunkannya sebagai sebuah Qur'an bahasa Arab, supaya kamu faham" - 12:2 (sila rujuk 43:3 juga) "Sesungguhnya Kami menurunkan kepada kamu sebuah Kitab yang di dalamnya Peringatan kamu; tidakkah kamu memahami?" - 21:10.
Satu lagi sebab mengapa orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah ialah kerana mengikuti bapa-bapa mereka atau nenek moyang mereka yang (tanpa disedari) tidak memahami sesuatu dan tidak dapat petunjuk. Firman-Nya:
"Dan apabila dikatakan kepada mereka, 'Ikutlah apa yang Allah turunkan', mereka berkata, 'Tidak, kami akan mengikuti apa yang kami mendapati bapa-bapa kami buat.' Apa? Dan jika bapa-bapa mereka tidak memahami sesuatu, dan mereka tidak mendapat petunjuk?" (2:170).
Kesudahannya, di akhirat kelak, mereka yang tidak menggunakan akal dalam agama akan menyesal. Penyesalan mereka dirakamkan di dalam sebuah ayat berbunyi:
"Dan mereka berkata, 'Sekiranya kami mendengarkan, atau memahami (menggunakan akal), tentu kami tidak menjadi orang-orang Menyala'” (67:10).
Lantaran itu, gunakanlah otak dan akal agar agama Islam dan penganut-penganutnya menjadi yang paling disenangi di dunia pada hari ini. Dan, nama Allah serta Kitab-Nya, al-Qur'an, dapat disanjung tinggi dengan sanjungan yang sebenarnya.
No comments:
Post a Comment